De Bruyne tak akan tinggalkan Man City – Guardiola

De Bruyne tak akan tinggalkan Man City – Guardiola

London: Pep Guardiola menegaskan Kevin De Bruyne tidak akan meninggalkan Manchester City, musim ini, selepas laporan mendakwa bintang Belgium itu mungkin berpindah ke Arab Saudi.

De Bruyne memiliki baki kontrak setahun lagi dengan City dan baru-baru ini, pemain tengah itu mendedahkan dia berbincang dengan isterinya, Michele mengenai perancangan masa depan.

“Bagi Michele, pengembaraan eksotik pun OK,” kata De Bruyne seolah-olah memberi bayangan dia mungkin menamatkan karier gemilang bersama juara bertahan Liga Perdana Inggeris (EPL) itu.

Kelab Liga Pro Saudi, Al-Ittihad dipercayai berminat mendapatkan De Bruyne.

Tetapi, laporan media Britain hari ini mendakwa, pengurus City, Guardiola menolak tanggapan pemain tengah berusia 33 tahun itu akan dibenarkan meninggalkan pasukan pada musim ini.

Bercakap menjelang perlawanan persahabatan antara Manchester City dan Celtic di North Carolina, Guardiola berkata: “Kevin tidak akan meninggalkan pasukan.”

Selepas terlepas separuh persaingan awal pada musim lalu akibat cedera, De Bruyne kembali untuk membantu City mencipta sejarah merangkul gelaran EPL empat kali berturut-turut.

Sejak menyertai City dari Wolfsburg pada 2015, dia memenangi 15 gelaran utama termasuk enam gelaran EPL dan satu trofi Liga Juara-Juara Eropah (UCL).

Pada ketika Guardiola kelihatan bertegas menyatakan pemain perancang itu akan kekal di Stadium Etihad pada musim ini, persoalan masih timbul sama ada dia mampu mengekalkannya selepas kontrak pemain itu berakhir.

“Anak sulung saya kini berusia lapan tahun dan tidak tahu apa-apa yang lain kecuali England. Dia turut bertanya berapa lama saya akan bermain untuk City. Apabila masanyay sampai, kami akan menanganinya dengan cara terbaik,” kata De Bruyne dalam temu bual, baru-baru ini.

“Pada usia seperti saya, anda harus terbuka dengan apa saja. Anda bercakap mengenai jumlah sukar dipercayai mengenai bagaimana cara untuk menamatkan karier saya. Ada masanya, anda perlu berfikir mengenainya.

“Jika saya bermain di sana untuk dua tahun, saya mungkin meraih wang dengan jumlah menakjubkan.”

Pada masa sama, Guardiola berkata, City tidak akan membuat rombakan besar terhadap skuadnya sebelum sepak mula EPL menentang Chelsea pada 18 Ogos.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top