London: Alessandro Nesta dilaporkan mendapat tawaran peranan dalam barisan kejurulatihan Tottenham Hotspur, menurut laporan terbaru ketika Roberto De Zerbi semakin hampir menjadi antara pengurus dengan gaji tertinggi di Liga Perdana Inggeris (EPL).
De Zerbi yang kini tidak melatih mana-mana pasukan selepas meninggalkan Olympique de Marseille pada Februari, berada di ambang untuk menjadi ketua jurulatih ketiga Spurs musim ini.
Pengendali dari Itali itu dikatakan sebagai pilihan sebulat suara di peringkat lembaga pengarah dan pemilik kelab, menurut laporan Sky Sports, yang mendakwa pihak pengurusan kelab yakin dia mampu memberi impak segera.
Jika pelantikan itu berlaku, De Zerbi perlu terus memberi keputusan positif. Spurs kini hanya satu mata di atas zon penyingkiran Liga Perdana dengan baki tujuh perlawanan.
Perlawanan pertama jurulatih berusia 46 tahun itu dijangka menentang Sunderland AFC di Stadium of Light pada 12 April, perlawanan yang mungkin menyaksikan Nesta berada di bangku simpanan sebagai pembantu jurulatih.
Menurut wartawan Itali Nicolo Schira, Nesta ditawarkan peranan sebagai penolong jurulatih oleh De Zerbi dan kini sedang mempertimbangkan tawaran tersebut.
Sejak bersara sebagai pemain, Nesta pernah menjadi ketua jurulatih di beberapa kelab termasuk Miami FC, Perugia Calcio, Frosinone Calcio, AC Reggiana dan yang terbaru AC Monza.
De Zerbi juga dilapor ditawarkan kontrak jangka panjang serta pakej kewangan lumayan oleh Tottenham, yang akan menjadikannya antara pengurus dengan bayaran tertinggi di Liga Perdana, menurut laporan The Athletic.
Bekas pengendali Spurs, Tim Sherwood, turut memberikan pandangannya mengenai khabar angin pelantikan De Zerbi.
“Saya suka personalitinya dan cara pasukannya bermain,” kata Sherwood. “Tetapi mereka boleh jadi terlalu terbuka dan boleh dibelasah dalam beberapa perlawanan dan itu tak boleh berlaku dari sekarang hingga akhir musim.
“[De Zerbi] sebenarnya mahu berehat selepas Marseille pada Februari, tetapi kenapa Spurs tak ambil dia ketika itu? Kenapa tidak sebelum Igor Tudor?”
Sherwood menambah: “Jika dia diberi tujuh lagi perlawanan lebih awal, saya akan lebih yakin dia mampu selamatkan pasukan daripada penyingkiran.”
© New Straits Times Press (M) Bhd


![[SALAM PERANTAUAN] Semoga dapat bertemu kembali [SALAM PERANTAUAN] Semoga dapat bertemu kembali](http://www.utusan.com.my/wp-content/uploads/2026/03/WhatsApp-Image-2026-03-30-at-14.17.44.jpeg)

