Dalam kesibukan dunia perusahaan yang sentiasa berkembang, seorang usahawan berjaya tampil dengan dua perniagaan yang menggabungkan gaya dan kreativiti.
Pemilik jenama Dearissa, Fatin Nur Ain Sukeiman, 27, yang terkenal dalam penjualan tudung membuktikan kreativiti dan dedikasi mampu mengatasi batasan bidang profesional apabila turut tampil dengan servis dekorasi inovatif.
Sepuluh tahun lalu, Fatin memulakan usaha menjahit tudung daripada minat di bangku sekolah yang kini berkembang menjadi satu jenama terkenal dalam pasaran dalam talian.
Kini, Fatin memulakan servis dekorasi yang menawarkan sentuhan estetik kepada acara dan majlis di sekitar Kuantan, secara tidak langsung menambah dimensi kepada perniagaannya.
Biarpun mempunyai latar belakang dalam bidang kejuruteraan, Fatin menunjukkan kejayaan dalam perniagaan bukanlah mengenai latar belakang akademik semata-mata.
“Saya mula menjual tudung lebih dari 10 tahun lalu sebagai hobi semasa sekolah namun saya mula serius apabila nampak ada potensi untuk menjana pendapatan.
“Pada mulanya, ia hanya pendapatan sampingan semasa bekerja tetap. Selepas berkahwin dan berpindah ke Kuantan, saya berhenti kerja dan fokus sepenuhnya kepada perniagaan tudung saya,” katanya kepada Harian Metro, baru-baru ini.
Melalui platform TikTok Shop, Fatin berjaya menjual lebih daripada 20,000 tudung dan anak tudung secara dalam talian.
Pencapaian itu bukan sahaja membuktikan kejayaan strategi pemasaran digitalnya, tetapi juga menunjukkan dengan usaha yang konsisten, hasil yang memberangsangkan boleh dicapai.

Tidak terhenti di situ, Fatin turut memulakan perniagaan baru dalam servis dekorasi di sekitar Kuantan kira-kira dua tahun lalu.
Dengan keinginan untuk berkembang, dia memutuskan menceburi bidang ini walaupun baru dalam industri.
Namun, sambutan yang diterima amat menggalakkan, menandakan bahawa usaha dan kreativiti Fatin dalam bidang dekorasi turut mendapat tempat di hati pelanggan.
Ketika ditanya mengenai inspirasi, Fatin berkongsi bahawa untuk perniagaan tudung, dia mendapat ilham daripada ibunya yang mahir menjahit.
“Dia memang mahir menjahit dan selalu membeli kain untuk dijahit sendiri. Melihat cara dia bekerja, saya terfikir untuk meneruskan tradisi keluarga ini dalam bentuk perniagaan.
“Untuk perniagaan dekorasi pula, saya mendapat ilham daripada konsep luar negara yang saya rasa sesuai untuk diterapkan di pasaran tempatan,” katanya.
Sebelum mengecapi kejayaan, Fatin berdepan pelbagai cabaran seperti menguruskan dua perniagaan secara serentak.
“Untuk perniagaan tudung, saingannya memang sengit dan harga pasaran tak stabil, jadi kita kena bijak dalam pemasaran dan terus menyesuaikan diri.
“Dalam bidang dekorasi, cuaca seperti angin kuat dan musim hujan juga jadi cabaran, terutama di Pantai Timur,” katanya.
Fatin turut berkongsi nasihat berharga untuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang baru mula beroperasi.
Beliau menekankan betapa pentingnya menghadapi cabaran tanpa rasa takut.
“Dalam dunia perniagaan, pasti ada rintangan dan halangan namun tu adalah bahagian daripada proses. Teruskan berusaha dan jangan mudah putus asa,” katanya.
Menurutnya, kadang-kadang kita mungkin tidak sedar betapa sudah menghampiri kejayaan.
Oleh itu, dia menyarankan agar PKS sentiasa bersemangat, memantau perkembangan perniagaan dengan teliti, dan bersedia untuk menyesuaikan strategi jika perlu.
“Yang penting adalah terus belajar dan berkembang dari setiap pengalaman,” katanya.
Ikuti akaun media sosial Dearissa di Instagram dan TikTok.
Mahu memaparkan perniagaan anda di lebih 30 jenama? Media Prima memperkenalkan #MariLokal bagi membantu PKS meningkatkan perniagaan.
Layari laman web REV Media Group untuk mengetahui lebih lanjut.
© New Straits Times Press (M) Bhd




