Dedah kecurangan suami di media sosial, isteri ‘dibantai’ hingga maut

Dedah kecurangan suami di media sosial, isteri ‘dibantai’ hingga maut

Pendedahan seorang isteri yang berkongsi kecurangan suaminya di media sosial telah membuatkan lelaki itu naik berang dan memukul wanita berkenaan sehingga maut.

Menerusi Utusan Malaysia, kejadian berlaku pada Ahad lalu sebelum sambutan Hari Raya Aidilfitri di sebuah rumah flat di Batu 9, Kajang.

Menurut Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd. Zaid Hassan, mangsa yang berusia 28 tahun dalam keadaan tidak sedarkan diri dihantar suaminya untuk mendapatkan rawatan  Hospital Kajang kira-kira jam 9 pagi.

Pemeriksaan yang dijalankan mendapati terdapat kesan lebam pada beberapa anggota badan mangsa dan pegawai perubatan berkenaan mendapati kematian itu mencurigakan sebelum bertindak melaporkannya kepada polis.

“Hasil bedah siasat yang dijalankan mendapati punca kematian adalah kecederaan abdomen disebabkan hentakan kuat dengan menggunakan senjata tumpul.
“Siasatan dijalankan mendapati mangsa dipukul dengan menggunakan kaki, tangan dan senjata tumpul sehingga menyebabkan kematian,” katanya

Dalam pada itu, menerusi muat naik yang dibuat oleh akaun TikTok @malaysianupdatenews, beberapa bingkisan video yang diperoleh dari Facebook ahli keluarganya telah menzahirkan rasa dukacita ke atas pemergian wanita tersebut.

Beberapa rangkuman video kebersamaan mangsa dengan kenalan-kenalan telah dikongsikan dan ia membuatkan ramai sebak kerana tidak menyangka nasib ibu muda itu berakhir di tangan suaminya sendiri.

@malaysianupdatenews

Salam takziah. Al-fatihah. 😭 #beritaditiktok #NewsAtTikTok #TrendingNewsMalaysia #malaysianupdate 📽 Lily

♬ original sound – Malaysian Update – Malaysian Update

Difahamkan, suspek merupakan seorang mekanik berusia 38 tahun dan telah ditahan untuk membantu siasatan.

Mohd. Zaid memaklumkan yang kes ini disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu bunuh.

Motif pembunuhan dipercayai kerana suspek marah dengan mangsa disebabkan mangsa memuat naik dalam media sosial bahawa suspek mempunyai hubungan sulit.
“Kes telah dirujuk ke Kamar Timbalan Pendakwaraya Selangor dan suspek akan dituduh pada 9 Mei ini di Mahkamah Majisret Kajang,” jelasnya.

Sumber: Utusan Malaysia (Maszureen Hadzman), TikTok malaysianupdatenews, Facebook Lily Nawi