Dedahkan identiti VIP potong barisan suntik vaksin

roha@bh.com.my

KUALA LUMPUR: Tan Sri Lee Lam Thye menggesa identiti individu yang memotong barisan bagi mendapatkan suntikan vaksin COVID-19 perlu didedahkan.

Pengerusi Ikatan Komuniti Selamat berkata, pendedahan itu penting untuk meyakinkan rakyat mengenai aspek keselamatan dan keberkesanan vaksin berkenaan.

“Laporan terbaru mengenai VIP yang memotong barisan untuk mendapatkan vaksinasi menjadi persoalan. Bagaimana ini boleh berlaku. Lebih penting lagi, siapakah mereka yang memotong barisan.

“Sebanyak mana yang diperlukan untuk memastikan keselamatan dan keberkesanan vaksin COVID-19 kepada orang ramai, juga penting supaya program imunisasi ini menjadi cekap, telus dan adil,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Sebelum ini, tular di laman media sosial, antaranya Twitter, yang memaparkan tangkap layar mesej mendakwa suntikan vaksin COVID-19 kepada doktor, jururawat dan petugas barisan hadapan yang tersenarai awal sebagai penerima terpaksa ditangguhkan untuk memberi ‘laluan’ kepada 200 anggota pejabat kerajaan di sebuah negeri.

Dalam perkembangan berkaitan, Lam Thye meminta pertimbangan diberikan untuk klinik swasta diizinkan untuk menawarkan vaksinasi kepada masyarakat.

Katanya, pertimbangan utama adalah sama ada klinik swasta itu dapat atau tidak melengkapi program vaksinasi kerajaan.

“Soalan penting, bagaimana kita boleh mempercepat program vaksinasi. Sekiranya hospital swasta dapat melengkapi usaha kerajaan untuk memudahkan imunisasi lebih cepat, itu tidak menjadi masalah.

“Klinik swasta bukannya selalu pentingkan keuntungan. Doktor swasta juga mengambil sumpah etika,” katanya.

Beliau menjelaskan langkah klinik swasta ingin membantu kerajaan dalam mempercepat proses vaksinasi, perlu disambut baik.

Lam Thye turut mencadangkan golongan berusia 90-an, 80-an dan 70-an diberikan keutamaan untuk menerima suntikan vaksin COVID-19.

Beliau juga mencadangkan Kementerian Kesihatan (KKM) mengadakan taklimat harian menerusi media mengenai jumlah yang sudah menerima suntikan vaksin.

“Ini akan menghilangkan rasa curiga dan keyakinan masyarakat terhadap program vaksinasi akan meningkat,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd