amir_hamid@mediaprima.com.my
Subang: Tiada larangan kenderaan berat menggunakan lebuh raya sempena perayaan Deepavali.
Menjelaskan perkara itu, Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar & Pembangunan) Kementerian Kerja Raya (KKR) Datuk Zahrul Hakim Abdullah berkata, larangan kenderaan berat menggunakan jalan raya sempena musim perayaan ditentukan melalui warta kerajaan dan setakat ini ia hanya dikenakan untuk Tahun Baru Cina dan Hari Raya Aidilfitri.
“Warta oleh kerajaan maknanya untuk menentukan lebuh raya yang tersebut kita larang kenderaan berat (gunakan untuk tempoh tertentu) memerlukan proses warta atau gazet.
“Jadi untuk Deepavali dan beberapa musim perayaan lain tidak dikenakan larangan kenderaan berat menggunakan lebuh raya.
“Setakat ini yang dilaksanakan adalah untuk Tahun Baru Cina dan Hari Raya Aidilfitri,” katanya ketika program Tinjauan Persediaan PLUS Sempena Perayaan Deepavali dan Majlis Penyampaian Hadiah Sempena Kempen Sambutan Bulan Kebangsaan, di Persada PLUS, di sini, hari ini.
Hadir sama, Pengarah Urusan PLUS Datuk Nik Airina Nik Jaffar, Pengarah Kanan Pengurusan Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) Junaidah Jamni, Ketua Penolong Pengarah Penguatkuasaan Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Polis Diraja Malaysia (PDRM) Superintendan Khairul Azhar Ismail dan Ketua Penolong Pengarah (Operasi), Bahagian Penguat kuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Lokman Junoh.
Sementara itu, Khairul Azhar berkata sekiranya berlaku sebarang kemalangan membabitkan kenderaan berat, ia akan cuba di atasi secepat mungkin dengan JSPT PDRM sudah bersedia dengan pihak konsesi lebuh raya.
“Pihak PLUS sudah menyediakan semua lokasi utama untuk tindakan awal diambil bagi mengurangkan kesesakan.
“Kita memang tahu kenderaan berat apabila melepasi outbound akan membabitkan kesesakan terlalu lama.
“Sekiranya tidak dapat diselesaikan dengan tempoh yang ditetapkan kita akan laksanakan ‘mandatory exit’.
“Kami sudah melakukan persediaan sepenuhnya dengan menempatkan hampir 3,000 petugas di seluruh negara termasuk lebuh raya.
“Hampir 500 petugas akan ditempatkan di 28 sektor membabitkan 16 seksyen,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




