saifulaffendy@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Tonggak import baharu Selangor FC, Kevin Deeromram menegaskan dirinya mempunyai impian untuk membantu Gergasi Merah memenangi trofi kejuaraan pada musim baharu Liga Malaysia (Liga M).
Pemain Thailand berusia 27 tahun kelahiran Stockholm, Sweden itu berkata, dia cukup teruja memulakan misi itu bersama Selangor selepas lapan tahun beraksi di Liga Thailand.
“Saya berada di Thailand agak lama, jadi saya rasa sudah tiba masanya untuk melakukan perubahan. Selangor adalah kelab yang besar dan mempunyai fasiliti lengkap selain ada kumpulan penyokong besar.
“Saya fikir tak terlalu sukar untuk menyesuaikan diri, terutamanya di sini kerana semua orang begitu peramah serta membantu saya.
“Saya sudah berbual dengan jurulatih (Katsuhito Kinoshi) dan saya sangat teruja untuk memulakan aksi pada musim baharu.
“Sasaran saya untuk memenangi sebanyak mungkin perlawanan dan cuba untuk mencabar kejuaraan. Saya fikir itu yang orang lain juga mahukan dan walaupun ia tidak mudah, itulah harapan kita perlu ada,” katanya dalam temu bual pertamanya selepas menyertai Selangor.
Pemain pertahanan kiri itu menjadikan bekas bek kiri Real Madrid, Marcelo sebagai insipirasi apabila beraksi di atas padang.
“Dia sangat teknikal dan anda boleh lihat betapa hebatnya dia di Eropah. Saya cuba bermain sepertinya dan sentiasa cuba mencipta peluang,” katanya.
Deeromram menyertai akademi Djurgardens IF di Sweden pada 2012 sebelum berhijrah ke Werder Bremen pada 2015. Setahun kemudian, dia kembali ke Djurgardens dan membuat penampilan profesional pertamanya menentang Levski Sofia.
Pada 2017, Deeromram berpindah ke Thailand dengan menyertai Ratchaburi dan kemudiannya Port, yang disertainya dari 2018 hingga 2025.
Bersama Port, dia merangkul Piala FA Thailand pada 2019 dan turut memperoleh empat penampilan bersama skuad senior Thailand.
Selangor akan memulakan kempen Liga M 2025/2026 menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam saingan Piala Sumbangsih, Jumaat ini.
© New Straits Times Press (M) Bhd