harisfadli@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Tindakan seorang pemandu kenderaan utiliti sukan (SUV) mengekori konvoi anggota polis memakan diri apabila dia ditahan hari ini.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd Zamzuri Mohd Isa berkata, kejadian berlaku jam 9.20 pagi di Lebuhraya Shah Alam (KESAS) menghala Klang.
“SUV Honda CR-V dipandu seorang lelaki tempatan berusia 27 tahun mengekori konvoi polis yang sedang mengiringi pergerakan Timbalan Perdana Menteri (Dato Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi) dari Kajang menghala ke Sunway Medical Centre Subang Jaya.
“Seorang anggota polis yang bertugas sebagai juruiring dalam konvoi itu memberi amaran kepada pemandu SUV itu supaya tidak mengekori konvoi.
“Lelaki itu bagaimanapun enggan mematuhi arahan malah terus mengekori. Tindakan itu dikhuatiri boleh membahayakan keselamatan konvoi dan pengguna jalan raya lain,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, susulan itu lelaki terbabit bersama kenderaan dipandunya ditahan oleh Bahagian Penguatkuasaan JSPT Kuala Lumpur untuk tindakan lanjut.
Katanya, kejadian itu tidak membabitkan sebarang pelanggaran, kemalangan atau insiden tidak diingini.
“Satu kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 21(1) Akta Polis 1967.
“Orang ramai atau saksi kejadian yang mempunyai maklumat berkaitan diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Balai Polis Trafik Tun H.S. Lee di talian 03-2071 9999 atau balai polis berdekatan,” katanya.
Terdahulu satu klip rakaman kamera papan pemuka tular di media sosial memaparkan sebuah SUV cuba mengekori konvoi terbabit sebelum disedari salah seorang juruiring yang kemudian dilihat memberi arahan kepada pemandu berkenaan.
Juruiring bermotosikal itu kemudian dilihat terus memecut laju selepas memberi amaran kepada kenderaan berkenaan namun pemandu SUV itu dilihat memecut laju ke arah konvoi di lorong paling kanan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




