am@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Wujud tiga strategi besar gerakan ajaran al-Arqam, Rufaqa dan kini ‘Global Ikhwan & Services Berhad’ Holdings (GISBH) dalam mengembangkan dokrin ajaran mereka.
Ketiga-tiga gerakan itu mempunyai nama yang berlainan namun menggunakan ‘baju’ yang sama iaitu prinsip ajaran al-Arqam.
Mufti Pulau Pinang, Prof Madya Datuk Dr Mohd Sukki Othman berkata, tiga strategi besar gerakan ini adalah mendekati orang berharta, berkuasa dan mempunyai pengaruh.
Menurutnya, mereka tidak mengajak golongan ini untuk menyertai gerakan berkenaan tetapi bersahabat serta menunjukkan akhlak yang baik.
“Pada masa sama, strategi mereka adalah mendekati golongan yang mempunyai kerjaya dan meminta mereka untuk menyokong membeli barangan dan derma, golongan ini juga tidak diajak untuk menyertai, hanya bersahabat.
“Bagi strategi ketiga, mereka akan mendekati individu yang berpotensi untuk menjadi ahli, berbuat baik dengan mereka, selalu menolong dan membawa mereka untuk mengikuti pelbagai siri usrah,” katanya.
Beliau berkata, ketiga-tiga nama itu mempunyai modus operandi yang sama saja cuma berubah dengan label dan penjenamaan baharu.
“Saya dan rakan-rakan saya pernah berdialog dengan kumpulan ini sekitar tahun 1996 di Jordan ketika al-Arqam berada dikemuncaknya.
“Antara topik perbincangan adalah berkisar mengenai Imam Mahdi dan Bani Tamim.
“Bila mana kita berdialog dengan kepimpinan besar mereka ketika itu, kita dapati mereka ini tidak mempunyai ilmu jadi mereka sangat mudah untuk melabelkan dan ia jelas menunjukkan kedangkalan ilmu mereka,” katanya.
Menurutnya, pengikut doktrin ini juga begitu fanatik dengan ketua mereka sehingga ada yang beranggapan bahawa ‘abuya’ iaitu ketua mereka dulu mempunyai kuasa tertentu.
Katanya, semua ini berlaku kerana tiada ilmu dan sudah melalui proses doktrin sehingga terlalu fanatik dengan ketua atau kepimpinan mereka.
© New Straits Times Press (M) Bhd




