am@hmetro.com.my
Putrajaya: Malaysia berpendirian tidak perlu ada rundingan membabitkan penjajahan di Gaza dan Palestin sehingga Israel menghentikan keganasan, genosid dan pembunuhan terhadap penduduk di wilayah itu.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata sebarang rundingan tidak boleh berlaku dengan pihak yang menceroboh sesebuah negara dan melakukan keganasan terhadap rakyatnya.
“Pendirian kita jelas, hentikan keganasan, hentikan genosid, hentikan pembunuhan, hentikan penjajahan ke atas Gaza dan Palestin. Tiada rundingan sebelum itu.
“Mana boleh kita runding dengan orang yang bunuh hari-hari, dia datang rumah saya rampas bunuh anak isteri saya kemudian kata boleh tak kita runding nak ikhtiar, tidak mungkin itu berlaku,” katanya kepada pemberita selepas solat jumaat di Kompleks Nasyrul Quran, di sini, hari ini.
Malaysia sebelum ini menyatakan sokongan terhadap usaha The Hague Group dalam mencari penyelesaian jangka panjang terhadap konflik di Gaza, namun mengambil pendekatan berhati-hati terhadap prasyarat serta kandungan Deklarasi New York yang sedang dibahaskan di peringkat antarabangsa.
Diminta mengulas mengenai keputusan Kabinet Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu yang meluluskan pelan untuk mengambil alih Bandaraya Gaza, Perdana Menteri berkata, kekejaman yang dilakukan rejim Israel terhadap Palestin adalah yang paling teruk kerana ia turut membabitkan pembunuhan kanak-kanak dan wanita serta kemusnahan rumah dan harta benda.
Menganggapnya sebagai satu kegagalan kemanusiaan yang memalukan, Perdana Menteri berkata, masyarakat dunia sedang kehilangan nilai dan sikap asas untuk mempertahankan kemanusiaan.
Justeru, beliau berkata, Malaysia merayu pemimpin dunia terutama kuasa besar untuk menghentikan pembunuhan yang berlaku di Palestin.
“Malaysia kekal konsisten dalam mengecam kekejaman ini, dan kita merayu secara terbuka kepada semua pemimpin dunia.
“Presiden, Perdana Menteri, termasuk Presiden Donald Trump supaya sekurang-kurangnya menghentikan pembunuhan ini kerana beliau masih mempunyai pengaruh.
“Dan jika beliau mampu menghentikan pembunuhan ini, dunia akan menghormatinya dan mengiktiraf sumbangannya.
“Beliau pernah menyokong usaha kita untuk mencapai keamanan antara Kemboja dan Thailand, dan kita percaya ia boleh dilakukan, asalkan ada keberanian, keazaman dan pendirian prinsip,” katanya.
Terdahulu hari ini, Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan dilaporkan berkata, Malaysia menyokong penubuhan negara Palestin yang merdeka, tanpa sebarang prasyarat dikenakan sebelum matlamat itu direalisasikan.
Susulan itu, beliau berkata, Malaysia kurang selesa dengan hasil Deklarasi New York yang menetapkan prasyarat ke arah mendapatkan sebuah negara Palestin yang merdeka, yang tidak dibincangkan dengan negara anggota Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Media sebelum ini melaporkan antara prasyarat Deklarasi New York membabitkan Palestin adalah menghentikan peperangan dan menyatukan Gaza dengan Tebing Barat yang memberi penekanan kepada keperluan tindakan bersama untuk itu.
Ia menegaskan penyelesaian politik, bukan kekuatan ketenteraan, iaitu satu-satunya jalan untuk mencapai keamanan dan keselamatan yang berkekalan, dan bahawa pelaksanaan penyelesaian dua negara adalah penting bagi memenuhi aspirasi yang sah, selaras dengan undang-undang antarabangsa.
© New Straits Times Press (M) Bhd