Del Toro ungguli peringkat kedua TdF

Del Toro ungguli peringkat kedua TdF

Barcelona: Pelumba Mexico, Isaac Del Toro menghadiahkan kemenangan buat UAE Team Emirates-XRG apabila muncul juara peringkat kedua Tour de France (TdF) di Montjuic, sekali gus menewaskan rakan sepasukannya yang juga juara bertahan, Tadej Pogacar.

Del Toro mempamerkan kayuhan bertenaga di pendakian curam menuju garisan penamat untuk menamatkan perlumbaan di depan Pogacar, manakala juara Olimpik, Remco Evenepoel melengkapkan podium di tempat ketiga.

Pendahulu keseluruhan, Jonas Vingegaard pula menamatkan perlumbaan di tempat keempat, namun keputusan itu sudah memadai untuk mengekalkan jersi kuning selepas dua peringkat.

Bagaimanapun, Pogacar meraih enam saat bonus hasil kedudukan naib juara sekali gus merapatkan jurang kepada hanya enam saat (s) di belakang Vingegaard dalam carta keseluruhan.

Evenepoel kini menghuni tangga ketiga keseluruhan, ketinggalan 15s di belakang pendahulu, manakala Del Toro melonjak ke kedudukan keempat dengan defisit 16s.

Peringkat sejauh 169 kilometer dari Tarragona ke Barcelona dijangka mencetuskan aksi sengit dalam kalangan pencabar gelaran keseluruhan susulan penamat berbukit di Montjuic.

UAE Team Emirates-XRG meningkatkan tempo sebaik kelompok pelumba memasuki litar penamat di Barcelona sehingga hanya kira-kira 30 pelumba kekal di kelompok hadapan.

Pendakian terakhir di Montjuic terus memecahkan kelompok utama sebelum Del Toro melakukan pecutan sekitar 700 meter terakhir dengan Pogacar berada rapat di belakangnya.

Pogacar yang juga juara dunia dilihat tidak memintas rakan sepasukannya pada saat akhir, sekali gus membolehkan Del Toro menikmati kemenangan peringkat pertamanya, manakala pelumba muda Perancis, Paul Seixas kini menghuni tangga keenam keseluruhan selepas menamatkan perlumbaan tiga saat di belakang kelompok pendahulu.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top