Delegasi asing perlu kelulusan untuk lawatan ke sempadan Gaza – Mesir

Delegasi asing perlu kelulusan untuk lawatan ke sempadan Gaza – Mesir

Kuala Lumpur: Mesir mengingatkan semua delegasi asing termasuk kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta individu yang bercadang melawat kawasan berhampiran sempadan Gaza – termasuk bandar Arish dan lintasan Rafah – supaya mendapatkan “kelulusan awal” melalui saluran rasmi.

Dalam satu kenyataan, Kementerian Luar Mesir berkata, permohonan untuk memasuki kawasan itu perlu dikemukakan secara rasmi kepada kedutaan Mesir di luar negara, atau menerusi kedutaan asing di Kaherah atau wakil organisasi masing-masing kepada kementerian tersebut.

“Perlu dinyatakan bahawa banyak lawatan oleh delegasi asing, sama ada kerajaan atau NGO hak asasi manusia, telah diatur melalui prosedur ini,” menurut kenyataan itu.

Kementerian itu menambah bahawa prosedur tersebut diperkenalkan bagi memastikan penyelarasan serta keselamatan semua delegasi yang melawat.

“Sebarang permintaan atau jemputan yang dibuat di luar kerangka yang dipersetujui tidak akan dipertimbangkan.

“Langkah ini penting demi menjaga keselamatan negara dan memastikan kelancaran penghantaran bantuan kemanusiaan,” katanya.

Kementerian itu turut menegaskan bahawa semua warga asing perlu mematuhi undang-undang kemasukan serta peraturan yang ditetapkan untuk memasuki wilayah Mesir, termasuk mendapatkan visa atau permit yang diperlukan lebih awal.

Pengumuman itu dibuat susulan laporan media bahawa ribuan aktivis dari seluruh dunia sedang menuju ke Mesir bagi menyertai Perarakan Global ke Gaza, satu gerakan yang bertujuan menarik perhatian antarabangsa terhadap sekatan kemanusiaan ke atas Gaza.

Laporan menyebut lebih 4,000 aktivis dari lebih 50 negara dijangka berarak ke lintasan Rafah di sempadan Mesir-Gaza dari 12 hingga 15 Jun.

Pihak berkuasa Mesir dilaporkan telah menahan dan mengusir 88 warga asing selepas mereka cuba menyertai perarakan itu di sempadan Rafah tanpa penyelarasan dan permit yang sewajarnya. Namun, penganjur mendakwa jumlah sebenar yang ditahan mencecah hampir 200 orang, menurut laporan media antarabangsa.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top