
Imej menyentuh hati itu disertakan bersama kapsyen ‘teman perjalanan saya’ yang mengundang pelbagai reaksi warganet. Foto Agensi
TEHERAN – Tular di media sosial memaparkan ketua delegasi Iran membawa potret bersama beg sekolah berlumuran darah milik mangsa serangan ganas di sebuah sekolah di Minab sebagai ‘penumpang simbolik’ dalam penerbangan ke Pakistan pada awal pagi Sabtu.
Imej menyentuh hati itu disertakan bersama kapsyen ‘teman perjalanan saya’ yang mengundang pelbagai reaksi warganet.
Hantaran tersebut merujuk kepada serangan dahsyat yang dipersalahkan Teheran terhadap Amerika Syarikat (AS) berdasarkan beberapa bukti jelas tentang penglibatan seteru mereka itu.
Kempen pengeboman yang turut mengundang kecaman komuniti antarabangsa itu meragut sekurang-kurangnya 165 nyawa kanak-kanak dan mencederakan puluhan yang lain.
Ghalibaf membawa ‘mesej’ itu ketika kedua-dua pihak bersiap sedia menghadapi rundingan genting di Islamabad.
Sesi dialog itu menandakan penglibatan langsung peringkat tertinggi pertama antara Washington dan Teheran sejak gencatan senjata rapuh diumumkan pada Rabu lalu.
Delegasi Iran diketuai oleh Ghalibaf bersama Menteri Luar, Abbas Araghchi, manakala AS diwakili Naib Presiden, J D Vance bersama Wakil Khas, Steve Witkoff dan Jared Kushner yang mewakili Rumah Putih dalam rundingan tersebut.
Perbincangan kali ini yang berlaku dalam tempoh kurang setahun selepas perang selama 12 hari pada Jun 2025 dijangka memberi tumpuan kepada program nuklear Iran, langkah menamatkan sekatan di Selat Hormuz dan rangka kerja untuk menamatkan perang secara kekal bagi menstabilkan semula keadaan di Asia Barat serta seluruh dunia. – Agensi



