Delegasi Malaysia menang dua emas, tiga perak dan satu gangsa di Geneva

Delegasi Malaysia menang dua emas, tiga perak dan satu gangsa di Geneva

Kuala Lumpur : Delegasi Malaysia meraih dua pingat emas, tiga perak dan satu gangsa di Pameran Rekacipta dan Inovasi Antarabangsa ke-50 di Geneva, Switzerland, yang bermula 9 hingga 13 April lalu.

Pingat emas dimenangi pereka cipta dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) iaitu Dr Noraina Norman, Dr Norhasmira Mohamad dan Prof Dr Muhamad Yusmiaidil Putera M Yusof yang membangunkan produk inovasi diberi nama CVMAXX.

Menurut mereka, CVMAXX adalah sistem pintar berasaskan kecerdasan buatan (AI) yang membantu menilai tahap kematangan vertebra servikal secara automatik.

“Sistem ini mengurangkan ralat manusia, meningkatkan ketepatan penilaian, mengoptimumkan penentuan masa rawatan serta menyumbang kepada penambah baikan hasil rawatan dalam bidang kesihatan,” katanya.

Satu lagi pingat emas dimenangi produk inovasi yang diberi nama Kiker’s Stick yang dihasilkan oleh Nik Ahmad Faris Nooh dan rakan-rakan dari Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Menurutnya, Kiker’s Stick adalah alat bantuan untuk pesakit angin ahmar atau warga emas yang mempunyai masalah kestabilan dan keseimbangan badan ketika berjalan.

“Tayar dan brek yang terdapat di Kiker’s Stick membantu pesakit lumpuh separuh badan (angin ahmar) untuk berjalan. Mereka tidak perlu mengangkat tongkat ketika berjalan dan mempunyai ciri keselamatan iaitu brek ketika mahu berhenti bagi mengelak pesakit jatuh.

“Alat ini juga membantu untuk menguatkan otot, sendi kaki dan meningkatkan keseimbangan badan ketika berjalan. Ia juga dapat menjimatkan masa pengguna untuk bergerak dari satu tempat ke satu tempat,” katanya.

Produk reka cipta yang memenangi hadiah di peringkat antarabangsa ini mempunyai ketulenan tersendiri, unik, bernilai komersial dan membantu dalam kelestarian hidup masyarakat.

Pameran Rekacipta dan Inovasi Antarabangsa kali ini disertai 52 buah negara dan menerima 1,050 penyertaan reka cipta.

Selain Malaysia, negara yang turut mengambil bahagian ialah China, Arab Saudi, Thailand, Jepun, Taiwan, Korea Selatan dan lain-lain.

Selain UiTM dan JKM, Malaysia turut diwakili pereka cipta dari Majlis Bandaraya Kuantan, DINA Resources & Management Sdn Bhd dan Adastra IP Sdn Bhd.

Penyertaan delegasi Malaysia ke acara itu diurus dan dibimbing oleh Wan Global Invention & Innovation Enterprise yang diketuai Dr Wan Manshol W Zin.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top