Delegasi Malaysia terima jemputan istimewa tokoh ilmuan Arab Saudi

Delegasi Malaysia terima jemputan istimewa tokoh ilmuan Arab Saudi
Delegasi Malaysia terima jemputan istimewa tokoh ilmuan Arab Saudi

Ahmad Tajuddin (dua dari kanan) bergambar ketika sesi penyerahan cenderahati daripada delegasi Malaysia kepada Dr Saad berupa replika KLCC.

MEKAH — Delegasi Tetamu Haji Raja Salman dari Malaysia menerima jemputan istimewa daripada Shaikh Profesor Dr Saad Nasir al-Shathri untuk berkunjung dan menziarahi beliau di kediamannya di Hotel Raihan Rotana, Mekah Al-Mukarramah.

Delegasi Malaysia tersebut diketuai oleh Datuk Wira Ahmad Tajuddin Idris bersama Murshid delegasi, Dr Fadlan Mohd Othman.

Menurut pihak delegasi, jemputan berkenaan dizahirkan sendiri oleh Dr Saad melalui panggilan telefon sebelum ketibaan para tetamu haji Raja Salman sebagai tanda penghormatan dan meraikan kehadiran rombongan Malaysia di Tanah Suci.

Pertemuan berlangsung dalam suasana penuh mahabbah dan ukhuwah Islamiah apabila para delegasi disambut mesra oleh pihak Dr Saad serta diraikan dengan jamuan makan malam tradisi Arab yang menyajikan nasi mandy dan pelbagai menu utama kebanggaan masyarakat Arab Saudi.

Turut bersama dalam rombongan tersebut ialah Sahibus Samahah Mufti Wilayah Persekutuan, Fauwaz Fadzil, yang turut mengambil kesempatan mengadakan sesi ramah mesra.

Mereka sempat bertukar pandangan berkaitan pembangunan dakwah, pendidikan Islam dan pengukuhan hubungan keilmuan antara Malaysia serta Arab Saudi.

Untuk rekod, Universiti Al-Madinah Antarabangsa (Mediu) yang beroperasi di Malaysia juga dimiliki oleh Dr Saad.

Beliau turut dikenali sebagai tokoh ilmuan berpengaruh di Arab Saudi serta memegang jawatan Penasihat Diraja bertaraf menteri dan Ahli Lembaga Ulama Senior Arab Saudi.

Pertemuan tersebut diakhiri dengan sesi penyerahan cenderahati daripada delegasi Malaysia kepada Dr Saad berupa replika Menara Berkembar Petronas (KLCC) sebagai simbolik persahabatan serta lambang kebanggaan negara Malaysia.

Scroll to Top