FAIZABAD, AFGHANISTAN: Sekurang-kurangnya 74 kanak-kanak maut ekoran wabak demam campak di wilayah Badakhshan, utara Afghanistan, menurut seorang pegawai di wilayah berkenaan hari ini.
“Terdapat sejumlah kecil kes demam campak di beberapa daerah Badakhshan, termasuk Kuf Ab, Darwaz, Kohistan serta ibu kota wilayah Faizabad dan bandar berhampirannya dalam tempoh dua bulan ini.
“Sekurang-kurangnya 74 kanak-kanak meninggal dunia selepas dijangkiti wabak itu di Kuf Ab dan daerah Kohistan,” kata Ketua Direktorat Penerangan dan Kebudayaan, Maazudin Ahmadi.
Kebanyakan kanak-kanak yang meninggal dunia tinggal di kawasan tanpa akses pekerja kesihatan awam serta pembekalan mudah alih vaksin tempatan.
Pegawai kesihatan wilayah berkali-kali menyeru penduduk sentiasa berwaspada dan merujuk pusat kesihatan terdekat sekiranya terdapat simptom pada kanak-kanak, termasuk demam, ruam, konjunktivitis, batuk dan selsema.
Menurut pegawai tempatan, terdapat peningkatan berterusan dalam kes demam campak di negara Asia, khususnya di kawasan pergunungan di timur laut. – AGENSI
© New Straits Times Press (M) Bhd




