Dembele 'ajar' Liverpool

Dembele 'ajar' Liverpool

Liverpool, England: Ousmane Dembele menjaringkan dua gol untuk memastikan Paris Saint-Germain mara ke separuh akhir Liga Juara-Juara Eropah selepas menang 2-0 ke atas Liverpool, awal pagi tadi sekali gus melengkapkan kemenangan agregat 4-0 dalam aksi suku akhir di Anfield yang dibasahi hujan lebat.

Juara bertahan itu menyerap tekanan berterusan Liverpool pada separuh masa kedua, yang mendapat sorakan padu penyokong tuan rumah sambil memanfaatkan kelebihan yang dibina dalam aksi pertama di Paris minggu lalu untuk melangkah ke separuh akhir buat kali kelima dalam tujuh musim.

Dembele menjaringkan gol di Anfield untuk musim kedua berturut-turut apabila menyambut hantaran Bradley Barcola pada minit ke-72 sebelum melakukan rembatan lencong dari jarak 18 meter untuk menewaskan Giorgi Mamardashvili dan melengkapkan dua gol peribadi pada masa kecederaan menerusi satu lagi hantaran Barcola.

PSG akan menentang sama ada Bayern Munich atau Real Madrid di separuh akhir, dengan kelab Jerman itu mendahului 2-1 menjelang aksi timbal balik.

“Kami berjaya kekal kuat dan bertahan dengan baik,” kata pertahanan PSG, Marquinhos. “Anda boleh lihat pasukan ini semakin matang. Kami sudah menimba pengalaman.”

Sorakan ejekan kedengaran di Anfield pada separuh masa kedua selepas sepakan penalti yang diberikan kepada Liverpool dibatalkan oleh VAR, susulan Willian Pacho mengasari Alexis Mac Allister di dalam kotak penalti.

Perlawanan yang berlangsung dalam hujan lebat itu turut dicemari kecederaan membimbangkan penyerang Liverpool, Hugo Ekitike, yang terpaksa diusung keluar selepas menunjukkan kesakitan pada tendon Achilles dan meninggalkan padang dalam keadaan menangis.

“Keadaannya tidak begitu baik,” kata pengurus Liverpool, Arne Slot. “Kita tunggu dan lihat. Pada separuh masa kedua dia sudah pulang. Saya belum berjumpa dengannya lagi.”

PSG menguasai separuh masa pertama, dengan dua gol Dembele hadir selepas dia terlebih dahulu mensia-siakan beberapa peluang termasuk rembatan jarak dekat melambung tinggi dan satu lagi percubaan yang berjaya ditepis Mamardashvili.

Liverpool pula menguasai awal babak kedua, namun Ryan Gravenberch, Cody Gakpo, Joe Gomez dan Mac Allister gagal memanfaatkan peluang.

Milos Kerkez hampir menjaringkan gol selepas menerima hantaran cantik Mohamed Salah, yang membuat penampilan terakhirnya dalam Liga Juara-Juara bersama Liverpool, namun percubaannya tersasar.

Gol pertama Dembele yang hadir ketika Liverpool sedang menguasai permainan hampir memuktamadkan perlawanan, sekali gus memadamkan harapan Liverpool untuk bangkit, selepas sebelum ini tersingkir dari Piala FA dan Piala Liga.

“Perlawanan ini memberi banyak pengajaran kerana menentang PSG yang lebih baik berbanding musim lalu, kami perlu bina dari sini dan sedar betapa bagusnya kami boleh jadi,” kata pertahanan Liverpool, Ibrahima Konate.

“Bermain di Liga Juara-Juara adalah standard minimum Liverpool. Kami masih ada enam perlawanan lagi (Liga Perdana Inggeris) dan perlu berikan segalanya.

“Kami tahu kami mampu lakukan sesuatu yang istimewa di Anfield, inilah bola sepak. Ia menyedihkan.”

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top