
NAS sepatutnya melangsungkan pernikahan dengan Muhammad Musalim selepas mereka mengikat tali pertunangan beberapa bulan lalu.
PATI – Seorang bakal pengantin perempuan yang dilaporkan melarikan diri beberapa jam sebelum majlis pernikahannya berjaya ditemukan bersama kekasihnya di sebuah hotel di Desa Kedungcino, Kabupaten Jepara, Jawa Tengah pada Sabtu.
Wanita dikenali sebagai NAS, 19, ditemui bersama teman lelakinya, DF, 18, selepas operasi mengesan kedua-duanya dijalankan pihak berkuasa.
Kisah gadis dari Kabupaten Pati itu sebelum ini tular di media sosial dan mendapat perhatian ramai yang bersimpati dengan nasib bakal suaminya selepas majlis perkahwinan mereka terpaksa dibatalkan pada saat akhir.
Kapolsek Tlogowungu, AKP Mujahid berkata, kes kehilangan NAS menjadi perhatian selepas keluarganya membuat laporan polis.
“Siasatan awal mendapati dia melarikan diri melalui pintu belakang kira-kira enam jam sebelum majlis berlangsung. Usaha menjejakinya dilakukan bersama Resmob Polresta Pati dan Resmob Polres Jepara. Pasangan kekasih itu dibawa ke Mapolresta Pati untuk diambil keterangan,” ujar Mujahid.
Difahamkan, NAS sepatutnya melangsungkan pernikahan dengan tunangnya, Muhammad Musalim, 33, selepas mereka mengikat tali pertunangan beberapa bulan lalu.
Bagaimanapun, gadis itu dipercayai menjalin hubungan dengan DF ketika sibuk membuat persiapan perkahwinan sebelum bertindak melarikan diri bersama lelaki terbabit. – Agensi



