Demi kesiapsiagaan, PM Anwar setuju pertimbang pelepasan perolehan dana ATM – Khaled Nordin

Demi kesiapsiagaan, PM Anwar setuju pertimbang pelepasan perolehan dana ATM – Khaled Nordin

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, bersetuju mempertimbangkan pelepasan perolehan dana Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bagi membolehkan perbelanjaan operasi pasukan keselamatan diteruskan tanpa gangguan.

Perkara itu dimaklumkan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, selepas pertemuan bersama pimpinan tertinggi Kementerian Pertahanan dan ATM di Wisma Perwira hari ini.

“Perdana Menteri memaklumkan beliau memahami soal kesiagaan dan operasi yang perlu diteruskan dan keputusan untuk membekukan perolehan perlulah dibuat secara berhati-hati yang pada akhirnya tidak menjejaskan operasi dan kesiagaan.
“Beliau bersetuju supaya perkara-perkara seperti itu boleh dipertimbang dan dikecualikan,” kata beliau.

PM Anwar setuju pertimbang pelepasan perolehan

Turut hadir dalam pertemuan itu adalah Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar, dan Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Datuk Malek Razak Sulaiman.

Tindakan itu susulan arahan Anwar pada 16 Januari lalu untuk membekukan semua keputusan perolehan ATM dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang berkaitan isu rasuah, sehingga proses perolehan dipatuhi sepenuhnya.

Artikel lain: ATM tambah baik sistem sebut harga perolehan, penuhi syarat ditetapkan MOF – Khaled Nordin

Pembekuan tersebut dibuat berikutan kontroversi melibatkan beberapa bekas pimpinan tertinggi ATM yang dikaitkan dengan salah guna kuasa dan isu rasuah.

Mohamed Khaled berkata, Perdana Menteri turut menekankan kepentingan ketelusan dalam proses perolehan dan menyokong usaha kementerian memperkasa tadbir urus, terutamanya dalam aspek perolehan.

“Selain itu, Perdana Menteri juga memberi penekanan terhadap kesiapsiagaan ATM sebagai satu kemestian berasaskan perubahan geopolitik semasa, sama ada di rantau ini mahupun di peringkat global,” tambah beliau.

Dalam pada itu, perhatian juga diberikan kepada kebajikan dan kesejahteraan anggota tentera, termasuk penyediaan rumah yang lebih selesa bagi mereka dan keluarga.

Sumber: BERNAMA

Scroll to Top