anbia@hmetro.com.my
Shah Alam: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Negeri Selangor menganjurkan Program Saringan Kesihatan khusus untuk pegawai dan kakitangannya sebagai langkah meningkatkan kesedaran berhubung kepentingan penjagaan kesihatan serta pengesanan awal risiko penyakit.
Program berkenaan merangkumi pemeriksaan asas kesihatan antaranya tekanan darah, ujian gula dalam darah, tahap kolesterol dan pengiraan Indeks Jisim Badan (BMI).
Inisiatif ini dilihat sebagai usaha proaktif bagi menggalakkan warga kerja memberi perhatian terhadap aspek kesihatan diri masing-masing.
Seiring dengan pelaksanaan program itu, satu kaunter khas pengemaskinian Sistem Pengurusan Maklumat Sumber Manusia (HRMIS) turut dibuka bagi membolehkan setiap pegawai merekodkan keputusan saringan kesihatan dalam Submodul Rekod Peribadi – Saringan Kesihatan Kendiri.
Langkah ini bertujuan memastikan maklumat kesihatan warga kerja didokumentasikan secara sistematik, di samping memupuk disiplin kendiri dalam menjaga tahap kesihatan.
Timbalan Pengarah (Operasi) SPRM Selangor, KPKPj Khairul Izwan Karim berkata, program ini turut disemarakkan dengan peluncuran program `FitNow Challenge’ oleh Kelab Sukan dan Rekreasi SPRM Selangor sebagai inisiatif untuk memastikan pematuhan terhadap polisi Indeks Jisim Badan (BMI) yang ditetapkan.
“Melalui program itu, semua pegawai dan kakitangan diberikan tempoh sehingga 31 Disember 2025 untuk menyahut cabaran ini.
“Program ini mencerminkan komitmen SPRM Selangor dalam menyokong aspirasi kepimpinan tertinggi SPRM untuk memastikan kesihatan warga kerja berada pada tahap terbaik bagi menghadapi tuntutan tugas yang mencabar. Seramai 75 pegawai dan kakitangan SPRM Selangor telah hadir ke program yang berlangsung selama hampir tiga jam,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd



