Demi masa depan anak warga ATM, Yayasan LTAT sumbang RM166,400 Simpanan Pendidikan MADANI 2026

Demi masa depan anak warga ATM, Yayasan LTAT sumbang RM166,400 Simpanan Pendidikan MADANI 2026

Seramai 3,328 murid Tahun Satu daripada kalangan anak anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menerima manfaat melalui Simpanan Pendidikan MADANI 2026, apabila Yayasan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) menyerahkan sumbangan berjumlah RM166,400 pada Majlis Berbuka Puasa Kementerian Pertahanan di Wisma Pertahanan, Kuala Lumpur, semalam.

Yayasan LTAT sumbang RM166,400 Simpanan Pendidikan MADANI 2026

Agihan sumbangan membabitkan RM100,900 untuk Tentera Darat Malaysia (TDM), RM30,600 untuk Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan RM34,900 untuk Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM). P

enyerahan cek disempurnakan oleh Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, sebagai komitmen berterusan kementerian melalui Yayasan LTAT untuk memastikan kebajikan dan masa depan pendidikan anak-anak anggota ATM sentiasa menjadi keutamaan.

Menurut Yayasan LTAT, inisiatif berkenaan memberikan setiap murid RM50 secara one-off, dikreditkan terus ke dalam akaun Simpan SSPN Prime sebagai permulaan tabungan pendidikan mereka.

“Keseluruhan pengkreditan dijangka selesai sepenuhnya selewat-lewatnya 18 Mac depan bagi memastikan semua penerima yang layak menerima manfaat dalam tempoh ditetapkan,” kata kenyataan itu.

Daripada jumlah penerima, 2,018 adalah anak anggota TDM, 612 anak TLDM dan 698 anak TUDM.

Artikel lain: Yayasan LTAT lancar lima inisiatif pendidikan demi perkasa anak-anak, keluarga warga ATM

Simpanan Pendidikan MADANI adalah kesinambungan inisiatif pendidikan Yayasan LTAT bagi menggalakkan penabungan awal pendidikan anak-anak warga ATM melalui akaun Simpan SSPN Prime kendalian Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).

Pendekatan ini bukan sekadar bantuan kewangan bersifat one-off, tetapi pelaburan sosial strategik yang membudayakan disiplin menabung serta perancangan kewangan pendidikan sejak awal, selari dengan aspirasi Malaysia MADANI untuk memperkukuh pembangunan modal insan.

Sejak diperkenalkan pada 2024, seramai 5,690 murid telah menerima manfaat membabitkan peruntukan RM284,500, diteruskan pada 2025 dengan 3,775 murid dan peruntukan RM188,750.

Melalui Simpan SSPN Prime, penerima menikmati pelbagai keistimewaan termasuk pelepasan cukai pendapatan sehingga RM8,000 setahun, jaminan keselamatan wang simpanan kerajaan, agihan dividen tahunan kompetitif, perlindungan takaful percuma bagi pendeposit dengan simpanan minimum RM1,000, serta peluang menerima geran sepadan hingga RM10,000 bagi keluarga yang layak.

Akaun ini juga menjadi syarat utama kelayakan memohon pinjaman pendidikan PTPTN, dengan fleksibiliti simpanan serendah RM20 sebulan.

Pada majlis sama, Mohamed Khaled turut menyerahkan sumbangan kebajikan RM34,000 kepada Panglima Angkatan Tentera untuk disalurkan kepada anggota terkesan akibat banjir baru-baru ini.

Selain itu, 20 anggota berstatus OKU dan pesakit kronik menerima sumbangan berjumlah RM10,000.

Hadir sama Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari; Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Datuk Malek Razak Sulaiman; Ketua Setiausaha Kementerian, Datuk Lokman Hakim Ali; dan Ketua Eksekutif Yayasan LTAT, Datuk Dr Mohd Nizar Sudin.

Scroll to Top