Demi mu Isaac, abah sanggup berhenti kerja

Demi mu Isaac, abah sanggup berhenti kerja

am@hmetro.com.my

Melaka: Seorang bapa tunggal sanggup berhenti kerja sebagai editor majalah demi memberi tumpuan dan menjaga anak lelaki yang disahkan menghidap tumor pada rahang kanan.

Mohd Faizal Maarof, 40, berkata, anaknya, Muhammad Isaac Ayden Mohd Faizal, 11, mulanya hanya mengalami tanda merah kecil pada pipi kanan sebelum disahkan menghidap ketumbuhan itu sejak setahun lalu.

Menurutnya, pada awalnya keadaan Isaac Ayden tidak begitu membimbangkan sehingga seorang doktor gigi yang kebetulan datang ke sekolah anaknya menasihati supaya anaknya dibawa ke hospital untuk pemeriksaan lanjut.g menetap di Umbai.

Beliau berkata, Isaac kemudian dibawa ke Hospital Melaka sebelum menjalani beberapa pemeriksaan termasuk imbasan CT dan MRI yang akhirnya mengesan ketumbuhan pada bahagian pipi berhampiran rahang.

Menurutnya, anaknya itu kemudiannya dirujuk ke Hospital Pakar Kanak-Kanak (HPKK), Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) untuk rawatan seterusnya.

“Isaac telah menjalani empat kali rawatan kemoterapi dan menunjukkan perkembangan positif apabila ketumbuhan tersebut dilaporkan semakin surut,” katanya.

Tambahnya, Isaac juga telah menjalani imbasan PET di Institut Kanser Negara (IKN), Putrajaya dan kini sedang menunggu keputusan lanjut daripada pihak doktor bagi menentukan rawatan seterusnya.

Mohd Faizal berkata, setelah berhenti kerja dia mengusahakan secara kecil-kecilan jualan karipap sejuk beku yang diusahakan bersama ibunya.

Ujarnya, biarpun sukar untuk membuat keputusan itu memandangkan selama ini memperolehi pendapatan tetap, namun semua itu terpaksa dilakukan memandangkan keadaan Isaac memerlukan pemantauan rapi.

Malah katanya, tahap kesihatan anaknya termasuk sistem imun begitu lemah dan mudah terdedah kepada jangkitan kuman.

“Kadang-kadang kalau keputusan darah tak cantik, dia perlu ditahan di wad dua hingga tiga minggu.

“Kalau dapat balik rumah pun biasanya hanya dua atau tiga hari sebelum kembali semula ke hospital, masa di hospital lebih lama daripada masa di rumah,” katanya.

Beliau berkata, kos rawatan kanser yang tinggi turut menjadi cabaran apabila sebahagian bil rawatan masih tertangguh dianggarkan kira-kira RM20,000 walaupun sebahagiannya telah dibayar menggunakan simpanan serta sumbangan rakan-rakan dan saudara-mara.

“Walaupun ujian ini agak berat dengan hilang sumber pendapatan terpaksa tapi kerana anak sakit saya perlu fokus menjaga dia,” katanya.

Menurutnya lagi, Isaac juga terpaksa menangguhkan persekolahan lebih enam bulan atas nasihat doktor kerana keadaan badannya yang lemah serta risiko jangkitan kuman.

“Setiap hari saya cuma fikir nak tengok dia sihat semula dan gembira macam kanak-kanak lain,” ujarnya.

Terdahulu, keluarga itu turut dikunjungi Pertubuhan Sukarelawan Bencana Melaka yang menyalurkan bantuan serta sokongan bagi meringankan beban mereka.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top