Demi pentas Olimpik Paris 2024

Demi pentas Olimpik Paris 2024

Izzuddin (kiri) dan Sze Fei akan kembali bergandingan dalam misi mereka memburu tiket Sukan Olimpik Paris 2024.

SELEPAS berpisah kira-kira lima bulan, Nur Izzuddin Rumsani dan Goh Sze Fe kembali bergandingan demi mengejar impian mereka beraksi pada temasya Sukan Olimpik Paris 2024.

Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Tan Sri Mohamad Norza Zakaria berkata, Izzuddin-Sze Fei sah akan kembali bersatu sebagai gandingan beregu lelaki.

Menurut Mohamad Norza, keputusan itu dibuat selepas beliau mengadakan pertemuan dengan Izzuddin-Sze Fei termasuk Pengarah Kejurulatihan Beregu Akademi Badminton Malaysia (ABM), Rexy Mainaky pada Rabu.

“Ini satu berita baik apabila Izzuddin dan Sze Fei sudah bersepakat untuk kembali menjadi pasangan untuk meneruskan cabaran dan impian mereka beraksi pada Olimpik.

“Mereka bertemu dengan saya dan Rexy. Setelah bertemu dengan mereka meluahkan ada kekesalan dan saya telah menasihati mereka untuk kembali bersama untuk mencapai impian Olimpik.

“Saya mahu mereka belajar daripada kesilapan, kuatkan semangat setiakawan antara mereka kerana mereka ada potensi yang sangat tinggi dan ia akan menjadi sia-sia kalau dibiarkan mereka begitu,” katanya.

Pada Januari lalu, Izzuddin-Sze Fei memutuskan untuk berpisah selepas mendakwa tiada lagi persefahaman antara mereka susulan keputusan mengecewakan dalam beberapa kejohanan yang disertai.

Susulan perpisahan mereka itu, ABM terpaksa merombak bahagian beregu lelaki dengan Izzuddin digandingkan bersama Muhammad Haikal Nazri manakala Sze Fei berpasangan dengan Choong Hon Jian.

Mengulas lanjut, Norza percaya Izzuddin-Sze Fei yang juga juara Terbuka Jerman 2022 masih mempunyai peluang untuk layak ke Sukan Olimpik Paris 2024.

“Saya fikir belum terlambat memandangkan pusingan kelayakan baru saja bermula (1 Mei lalu). Lagipun kedudukan ranking dunia mereka masih baik di tangga ke-32.

“Sekiranya mereka fokus dan ikhlas tentu saja mereka mampu mencapai impian ke Olimpik,” ujarnya yang menjangkakan Izzuddin-Sze Fei akan kembali bersatu dalam masa terdekat.