Demi wang, Theo Hernandez sanggup tinggalkan AC Milan

Demi wang, Theo Hernandez sanggup tinggalkan AC Milan

Paris: Pertahanan kiri Perancis, Theo Hernandez sah meninggalkan AC Milan selepas menyertai kelab gergasi Arab Saudi, Al-Hilal dengan kontrak selama tiga tahun.

Perpindahan pemain berusia 27 tahun itu dilaporkan bernilai €25 juta (RM128 juta) menurut media Itali sekali gus mengakhiri karier lima musimnya bersama kelab Serie A itu.

Theo, yang memiliki 38 kaps bersama skuad Les Bleus dan menjaringkan dua gol antarabangsa, pernah beraksi dalam final Piala Dunia 2022 menentang Argentina di Qatar, yang menyaksikan Perancis tewas menerusi sepakan penalti.

Kemasukannya ke liga Saudi setahun sebelum Piala Dunia 2026 dianggap langkah berisiko terhadap peluang dipanggil semula ke skuad kebangsaan kendalian Didier Deschamps.

Namun, bekas bintang Chelsea dan Perancis, N’Golo Kante, menjadi contoh apabila masih diberi tempat ke Euro 2024 walaupun bermain di Al-Ittihad, menunjukkan Deschamps tetap terbuka kepada pemain di Liga Saudi.

Theo menyertai Milan dari Real Madrid pada 2019 dan segera menjadi tonggak utama di San Siro, membantu pasukan menjulang kejuaraan Serie A musim 2021–2022.

Kepantasan, larian deras di sebelah kiri dan kebolehannya menjaringkan gol menjadikan Theo antara bek kiri terbaik Eropah dalam beberapa musim terakhir.

Langkah ke Al-Hilal turut menyaksikannya bakal bergandingan dengan beberapa bintang dunia seperti Neymar, Ruben Neves dan Sergej Milinkovic-Savic dalam usaha kelab itu mendominasi bola sepak Asia dan Arab Saudi.

Theo juga adalah adik kepada pemain pertahanan Paris Saint-Germain, Lucas Hernandez, menjadikan mereka antara pasangan adik-beradik paling terkenal dalam bola sepak Perancis masa kini.

Dengan perpindahan ini, Al-Hilal terus memperkukuh reputasi sebagai destinasi utama bintang Eropah selepas gelombang masuk pemain ternama ke Liga Pro Saudi sejak 2023.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top