Demonstrasi terhadap pemerintahan Prabowo-Gibran cetus ketegangan di Yogyakarta

Demonstrasi terhadap pemerintahan Prabowo-Gibran cetus ketegangan di Yogyakarta

Yogyakarta: Demonstrasi sempena dua tahun pemerintahan Presiden Indonesia, Prabowo Subianto dan Naib Presidennya, Gibran Rakabuming Raka di Daerah Istimewa Yogyakarta, dicemari kekecohan pada Selasa, lapor Kompas.

Demonstrasi itu berlangsung di halaman pejabat Dewan Perwakilan Rakyat Daerah (DPRD) Yogyakarta dan Titik Nol Kilometer, Kota Yogyakarta.

Perhimpunan di halaman pejabat DPRD bermula jam 12 tengah hari dengan kehadiran sekumpulan penunjuk perasaan berpakaian biru sebelum kumpulan lain tiba tidak lama kemudian.

Difahamkan, menyedari kehadiran kumpulan berkenaan, penunjuk perasaan berpakaian biru meninggalkan lokasi dan digantikan oleh kumpulan yang majoritinya berpakaian hitam.

Kumpulan berpakaian hitam kemudian terus memenuhi halaman pejabat DPRD sehingga jam 6 petang dan beberapa kali bertembung dengan anggota keselamatan ketika cuba memasuki bilik mesyuarat, namun dihalang polis.

Bagaimanapun, tindakan polis itu menyebabkan penunjuk perasaan semakin agresif sehingga menolak dan membaling objek ke arah anggota keselamatan.

Sementara itu, di lokasi lain, kumpulan penunjuk perasaan berpakaian jaket merah mula berkumpul di Titik Nol Kilometer sekitar jam 2 petang sebelum bersurai pada jam 4.45 petang.

Menurut media sama, penunjuk perasaan daripada Aliansi UMY Bergerak (UMB) menyuarakan kekecewaan terhadap pemerintahan Prabowo-Gibran, termasuk penyertaan Indonesia sebagai anggota Lembaga Keamanan (*Board of Peace* atau BOP).

Mereka turut membantah pendekatan pemerintahan bercorak ketenteraan yang didakwa memasuki pelbagai sektor awam.

Selain itu, mereka berpandangan bahawa rombakan kabinet yang dilakukan Prabowo tidak menunjukkan prestasi yang baik.

Penunjuk perasaan turut membangkitkan isu dasar program makanan percuma berkhasiat (MBG) dan Koperasi Desa (Kopdes).

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top