surayaroslan@mediaprima.com.my’
Kuala Lumpur: Seorang penganggur didenda RM1,400 oleh Mahkamah Majistret di sini, tadi, kerana melarikan diri ketika pemeriksaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) selain menghalang tugas anggota polis, lima tahun lalu.
Majistret Farah Nabihah Muhamad Dan menjatuhkan hukuman itu terhadap Mohamad Faisal Suhaimi, 34, selepas lelaki itu mengaku bersalah atas pertuduhan itu.
Mahkamah memerintahkannya menjalani hukuman penjara sebulan sekiranya gagal membayar denda.
Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa dengan sengaja menghalang penjawat awam iaitu Sarjan Muhammad Shahreen Rusli, 28, daripada menjalankan tugas di Jalan Genting Klang, Wangsa Maju, di sini, jam 4.45 petang, 1 Jun 2020.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda tidak lebih RM10,000 atau kedua-duanya.
Mengikut fakta kes, ketika Muhammad Shahreen bersama rakan setugas membuat pemantauan PKPB di jalan berkenaan, dia menahan tertuduh dan rakannya kerana berada dalam keadaan mencurigakan pada waktu itu.
Selepas ditahan, tertuduh dan rakannya kemudian melarikan diri dengan motosikal menuju ke Danau Kota, namun tertuduh berjaya ditahan selepas bergelut dengan Muhammad Shahreen, bagaimanapun rakannya melarikan diri.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Amritpreet Kaur Randhawa manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
© New Straits Times Press (M) Bhd




