“Denda RM3,000 Terhadap Aliff Aziz, Ruhainies Adalah Hukuman Maksimum Mahkamah Syariah Bagi Kesalahan Khalwat” – Menteri Agama

“Denda RM3,000 Terhadap Aliff Aziz, Ruhainies Adalah Hukuman Maksimum Mahkamah Syariah Bagi Kesalahan Khalwat” – Menteri Agama

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar menegaskan denda RM3,000 yang dikenakan terhadap pasangan selebriti, Aliff Aziz dan Ruhainies atas kesalahan khalwat adalah hukuman maksimum yang boleh dijatuhkan oleh Mahkamah Tinggi Syariah Wilayah Persekutuan.

Menurutnya, mahkamah tidak boleh menjatuhkan hukuman lebih berat kerana tertakluk kepada undang-undang sedia ada.

“Oleh itu, kami mencadangkan supaya hukuman yang boleh dikenakan oleh mahkamah Syariah diperkasakan melalui pindaan Rang Undang-Undang (RUU) 355.

“Pindaan ini perlu dibuat di peringkat persekutuan dan akan melibatkan semua negeri. Jika ada keperluan untuk menaikkan kadar denda atau hukuman penjara, RUU 355 perlu dipinda terlebih dahulu,” katanya.

Na’im berkata demikian selepas menghadiri Majlis Penyampaian Anugerah Malaysia Book of Records, Ayam Gepuk Pak Gembus, baru-baru ini.

Sebelum ini, Aliff atau nama sebenarnya Mohammad Aliff Aziz, 33, dan Ruhainies atau nama penuhnya Nur Ruhainies Farehah Zainul Ilyas, 31, masing-masing dikenakan denda RM3,000 oleh Mahkamah Tinggi Syariah Wilayah Persekutuan pada 21 Februari lalu selepas mengaku bersalah atas tuduhan khalwat.

Na’im turut menjelaskan bahawa pasangan tersebut yang ditahan tahun lalu telah menukar pengakuan kepada bersalah.

Untuk rekod, pada 3 Julai 2024, kedua-duanya pada mulanya mengaku tidak bersalah ketika pertuduhan dibacakan.

Sementara itu, Na’im turut menerangkan bahawa keputusan mahkamah turut mengambil kira beberapa faktor yang boleh meringankan hukuman, termasuk pengakuan bersalah oleh tertuduh.

“Dalam sistem perundangan, sama ada di mahkamah Syariah atau sivil, faktor mitigasi akan dipertimbangkan. Salah satunya adalah pengakuan bersalah tertuduh, yang boleh mempengaruhi keputusan hukuman,” katanya.

Na’im turut menegaskan setiap pengakuan bersalah perlu dilakukan tanpa paksaan atau tekanan daripada mana-mana pihak.

“Hakim akan memastikan bahawa tertuduh membuat pengakuan secara sukarela tanpa sebarang pengaruh luar.

“Ini adalah prosedur yang biasa dilaksanakan, termasuk dalam kes ini kerana pada awalnya mereka mengaku tidak bersalah sebelum menukar pengakuan,” jelasnya.

Scroll to Top