Denda RM50 juta Najib sudah dibayar – Peguam

Denda RM50 juta Najib sudah dibayar – Peguam

am@mediaprima.com.my

Kuala Lumpur: Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak selesai menjelaskan denda RM50 juta yang dikenakan terhadapnya dalam kes penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi di sini, hari ini.

Peguam Najib, Muhammad Farhan Shafee mengesahkan perkara itu sebentar tadi.

“Ya, sudah bayar,” katanya ringkas.

Terdahulu, Muhammad Farhan tiba di mahkamah kira-kira 11.30 pagi sambil membawa beg hitam berkunci bagi menyelesaikan urusan pembayaran itu dan melengkapkan prosedur pentadbiran yang diperlukan sebelum pembayaran itu dimuktamadkan.

Beliau berkata, ketika ini pihaknya sedang menunggu surat perintah pembebasan tahanan yang akan diserahkan kepada Jabatan Penjara Malaysia.

Pembayaran itu antara syarat pengampunan bersyarat yang diperkenankan Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim pada 18 Sept lepas, yang membolehkan Najib menjalani baki hukuman penjara secara tahanan di rumah sehingga 23 Ogos 2028.

Perkara itu diputuskan dalam Mesyuarat Lembaga Pengampunan Ke-64 Bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya yang diadakan di Istana Negara.

Pada 18 September lalu, bekas Ahli Parlimen Pekan itu menerima pengampunan bersyarat daripada Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim yang membolehkannya menjalani baki hukuman secara tahanan rumah sehingga 23 Ogos 2028.

Najib, 73, dijatuhi hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta selepas didapati bersalah oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 28 Julai 2020 atas tujuh pertuduhan berkaitan penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta.

Pada 23 Ogos 2022, Mahkamah Persekutuan menolak rayuan terakhir Najib dan mengekalkan sabitan serta hukuman berkenaan. Pada hari sama, beliau mula menjalani hukuman penjara di Penjara Kajang.

Najib kemudian mengemukakan petisyen pengampunan kepada Yang di-Pertuan Agong pada 2 September 2022. Permohonan itu dipertimbangkan dalam Mesyuarat Lembaga Pengampunan pada 29 Januari 2024.

Pada 2 Februari 2024, Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) Jabatan Perdana Menteri mengumumkan keputusan Lembaga Pengampunan yang mengurangkan hukuman penjara Najib daripada 12 tahun kepada enam tahun, manakala denda dikurangkan daripada RM210 juta kepada RM50 juta.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top