Denmark rancang vaksinkan remaja 12 hingga 15 tahun

Denmark rancang vaksinkan remaja 12 hingga 15 tahun

Negara itu berusaha meningkatkan imuniti kelompok sebelum musim sejuk bermula. (Gambar Freepik)

COPENHAGEN: Denmark akan menawarkan vaksin Covid-19 untuk remaja berusia 12 hingga 15 tahun selepas golongan dewasa selesai menerima inokulasi bagi menguatkan imuniti terhadap virus itu sebelum musim sejuk bermula, kata pihak berkuasa pada Khamis.

Denmark pada awalnya hanya akan menawarkan vaksin Pfizer-BioNTech untuk remaja kumpulan itu kerana itu saja yang diluluskan pengawal atur perubatan Kesatuan Eropah (EU), kata pihak berkuasa kesihatan Denmark dalam kenyataan.

Pada lewat Mei, pengawal atur perubatan EU meluluskan vaksin Covid-19 Pfizer dan BioNTech untuk digunakan bagi kanak-kanak semuda 12 tahun, dan dijangka mengumumkan keputusannya mengenai penggunaan Moderna untuk remaja sekitar bulan depan.

“Peluasan kumpulan sasaran kepada usia 12 hingga 15 tahun adalah perlu untuk memastikan imuniti lebih tinggi dalam kalangan penduduk, seterusnya mengawal wabak di Denmark,” kata Ketua Pihak Berkuasa Kesihatan Denmark Soren Brostrom.

Vaksinasi remaja akan bermula selepas dewasa terakhir divaksin sepenuhnya sekitar pertengahan September, kata Brostrom dalam satu sidang media.

“Kita memerlukan imuniti penduduk, terutama sebelum musim sejuk,” katanya.

Hampir separuh daripada populasi Denmark telah menerima suntikan pertama vaksin, manakala lebih daripada suku telah menerima dos penuh.

Scroll to Top