austin@nst.com.my
Kajang: Tembok penahan setinggi lima meter runtuh dipercayai akibat hujan lebat dan menimbus enam kenderaan yang diletakkan di sepanjang Jalan Nilam di sini, petang tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 5 petang itu, tiga kereta dan tiga motosikal rosak.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, siasatan awal mendapati tembok penahan berkenaan dipercayai gagal menahan pergerakan tanah susulan hujan lebat yang bermula kira-kira jam 3 petang.
“Runtuhan itu menyebabkan tanah menimbus beberapa kenderaan yang diletakkan berhampiran kawasan terjejas.
“Tiga kereta yang rosak dalam kejadian itu ialah Proton Saga, Proton Satria dan Proton Wira Aeroback.
“Sementara tiga motosikal, masing-masing Yamaha Nouvo, Honda Wave dan Yamaha Lagenda, turut mengalami kerosakan,” katanya dalam kenyataan malam ini.
Bagaimanapun, katanya, tiada kemalangan jiwa atau kecederaan dilaporkan.
Beliau berkata, punca sebenar kejadian tanah runtuh itu masih disiasat pihak berkaitan.
Sementara itu, pegawai operasi syarikat keselamatan, Wan Nabihah Ramly, 35, berkata, dia masih bertugas di sebuah premis berhampiran lokasi kejadian ketika insiden berlaku.
Dia yang sudah dua tahun bekerja di situ berkata, kejadian itu kali pertama berlaku.
“Kami sedang bekerja apabila tiba-tiba terdengar bunyi seperti sesuatu jatuh jam 4.50 petang.
“Namun, kira-kira jam 5 petang, satu dentuman kuat berlaku dan orang ramai mula menjerit meminta semua orang keluar.
“Apabila kami melihat ke luar, semuanya sudah runtuh. Kejadian berlaku begitu pantas,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, hari ini.
Wan Nabihah berkata, dia percaya hujan menjadi antara faktor yang menyumbang kepada runtuhan itu.
Beliau berkata, pagar di sepanjang kawasan terjejas baru dipasang beberapa bulan lalu.
“Tembok itu baru dipasang beberapa bulan lalu, jadi kami yang bekerja di sini menyangka kawasan ini selamat.
“Namun, selepas kejadian ini berlaku, kami sedar keadaan mungkin tidak seperti yang disangka,” katanya yang percaya hujan berterusan mungkin melemahkan struktur tanah.
Terdahulu, media melaporkan tiga kereta dan tiga motosikal tertimbus dalam kejadian tanah runtuh di Jalan Nilam 2 di sini, petang tadi.
Bagaimanapun, tiada kemalangan jiwa dilaporkan dan pihak berkuasa mengesahkan tiada mangsa yang terperangkap di dalam kenderaan yang terjejas.
© New Straits Times Press (M) Bhd




