am@hmetro.com.my
Melaka: Bunyi dentuman kuat mengejutkan orang ramai sebelum sebuah Proton Saga FLX terbakar dalam kemalangan membabitkan lima kenderaan di depan Bazar Mara, Jalan Bertam Malim ke Cheng, di sini, pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 9.30 pagi itu, dua lelaki berusia 50-an dan 60-an cedera dan berjaya diselamatkan orang awam.
Saksi kejadian, Shahrizal Ahmad, 48, yang juga pekerja swasta berkata, dia melihat kejadian itu dari bangunan tempat kerjanya yang terletak kira-kira 40 meter dari lokasi.
Menurutnya, ketika kejadian dia terdengar bunyi dentuman kuat sebelum melihat beberapa kenderaan terbabit dalam kemalangan dan sebuah daripadanya terbakar.
Katanya, beberapa individu dari kenderaan lain yang turut terbabit dilihat mengalami kecederaan, namun berjaya menyelamatkan diri dan ada yang diselamatkan oleh orang awam.
“Saya nampak ada penumpang dalam salah sebuah kenderaan yang terbabit mengalami kecederaan.
“Namun, mereka sempat keluar untuk menyelamatkan diri,” katanya.
Sementara itu, Komander Operasi, PBK I Sihan Tahir berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 9.31 pagi sebelum jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Cheng digerakkan ke lokasi kejadian.
Menurutnya, seramai lima anggota bersama sebuah jentera tiba di lokasi pada 9.43 pagi dan mendapati benar berlaku kebakaran membabitkan sebuah kenderaan.
Katanya, kebakaran dipercayai berlaku selepas pelanggaran membabitkan sebuah Toyota Vios, Mercedes-Benz, kren Tadano, Perodua Bezza dan Proton Saga FLX.
“Setibanya pasukan keluaran operasi (PKO) di lokasi, didapati kebakaran membabitkan kereta Proton Saga FLX dengan anggaran kemusnahan kira-kira 90 peratus.
“Pasukan bomba kemudian menjalankan operasi pemadaman dan berjaya mengawal kebakaran pada 9.46 pagi sebelum operasi tamat sepenuhnya pada 11.11 pagi,” katanya.
Katanya, operasi turut mendapat kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM).
© New Straits Times Press (M) Bhd




