Kaunas, Lithuania: Penyerang Memphis Depay menyatakan rasa banggannya selepas mencipta rekod sebagai penjaring terbanyak pasukan kebangsaan Belanda , awal pagi tadi dan bertekad untuk terus beraksi bersama skuad Oranje.
Depay menjaringkan dua gol dan dinobatkan pemain terbaik perlawanan ketika Belanda mencatat kemenangan tipis 3-2 ke atas Lithuania untuk mengumpul 10 mata daripada empat perlawanan dalam kumpulan kelayakan.
Sebelum ini, Depay terikat dengan Robin van Persie dengan 50 gol selepas menjaringkan dua gol ketika menentang Malta pada Jun lalu. Namun, dia gagal mencipta rekod baharu pada Jumaat lalu apabila Belanda seri 1-1 menentang Poland dalam aksi yang hambar di Rotterdam.
Namun pada awal pagi tadi, Depay hanya memerlukan 11 minit untuk meletakkan namanya di puncak senarai penjaring terbanyak sepanjang zaman Belanda, sebelum menjaringkan gol kemenangan menerusi tandukan bertenaga selepas Lithuania bangkit menyamakan kedudukan 2-2 dengan baki 30 minit permainan.
“Saya sangat bangga dan gembira kerana berjaya mengatasi Robin. Saya ucapkan terima kasih kepada semua di bilik persalinan,” katanya kepada televisyen NOS Belanda.
“Saya juga ingin berterima kasih kepada bekas rakan sepasukan seperti Klaas-Jan Huntelaar dan Arjen Robben, contohnya. Mereka memberi inspirasi kepada saya. Begitu juga dengan Patrick Kluivert kerana dialah saya mahu bermain untuk pasukan kebangsaan Belanda.”
Depay, yang kini beraksi di Brazil bersama kelab Corinthians turut menyindir pengkritik yang mempersoalkan konsistensinya.
“Orang sering bertanya, ‘Apa yang kita nak buat dengan posisi penyerang kita?’ Tapi sebenarnya kita dah pun ada penyerang yang banyak jaringkan gol,” katanya merujuk kepada dirinya sendiri.
“Saya akan cuba buktikan segalanya melalui aksi di padang sebelum mereka singkirkan saya begitu saja.”
© New Straits Times Press (M) Bhd



