Derbi Manchester di Old Trafford hambar

Derbi Manchester di Old Trafford hambar

DERBI Manchester ke-196 antara Manchester United dan Manchester City berakhir dengan keputusan seri tanpa jaringan di Stadium Old Trafford pada Ahad.

Perkongsian mata itu sekali gus menjejaskan peluang The Citizens bimbingan Pep Guardiola untuk mengukuhkan kedudukan dalam perebutan slot Liga Juara-Juara musim depan.

Keputusan ini juga menambah derita Manchester United kendalian Ruben Amorim yang terus bergelut untuk keluar daripada kelompok pertengahan liga.

Kedua-dua pasukan gagal mencipta peluang, terutama sepanjang separuh masa pertama yang lesu dalam perlawanan yang kurang menyengat itu.

Ketiadaan penjaring terbanyak City, Erling Haaland, turut memberi kesan kepada ketajaman serangan penyandang juara tersebut.

Malah, Guardiola mengakui pasukannya gagal memanfaatkan peluang dalam perlawanan itu.

“Perlawanan yang sengit. Mereka ada peluang, kami pun ada peluang.

“Masalahnya, kami terlalu banyak bergerak dengan bola. Kami perlu berada di posisi yang betul, tetapi tidak melakukannya,” katanya.

Separuh masa kedua menyaksikan sedikit peningkatan aksi apabila penjaga gol United, André Onana, melakukan penyelamatan cemerlang menafikan percubaan Omar Marmoush.

Bintang United, Joshua Zirkzee pula memaksa Ederson melakukan aksi heroik dengan menyelamatkan rembatan separuh voli.

Sebagai rekod, keputusan seri ini merupakan keputusan tanpa jaringan pertama dalam derbi gergasi Manchester sejak tahun 2020.

Keputusan itu juga melanjutkan kemarau kemenangan United di Old Trafford, dengan kali terakhir mencatatkan kemenangan di tempat sendiri adalah pada 1 Disember ketika membelasah Everton 4-0.

Pengendali United, Ruben Amorim, cuba mencari sisi positif hasil daripada perlawanan di hadapan penyokong The Red Devils.

“Gembira dengan prestasi, tetapi bukan dengan keputusan. Kami mahu menang dan kami perlukan mata dalam liga.

“Kami sedar itu. Kami bermain menentang pasukan yang sangat bagus. Saya rasa perlawanan ini seimbang untuk kedua-dua pasukan,” katanya.

Keputusan seri ini memberi tamparan hebat kepada City dalam usaha mereka merebut kelayakan Liga Juara-Juara.

Mereka kini berada di tangga kelima dengan 52 mata, satu mata di belakang Chelsea.

United pula kekal di tangga ke-13 dengan 38 mata, semakin jauh daripada sasaran terbaik sebagai gergasi bola sepak Inggeris.

Scroll to Top