mdroji@bh.com.my
Kuching: Satu kejadian runtuhan bangunan membabitkan deretan kedai dilaporkan berlaku di Jalan Pahlawan, Sungai Merah, di Sibu, awal pagi tadi.
Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 2.46 pagi sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Merah digerakkan ke lokasi.
Jurucakap PGO berkata, pasukan bomba tiba di tempat kejadian yang terletak lima kilometer dari balai pada jam 2.52 pagi.
“Komander operasi melaporkan hasil pemeriksaan awal yang dijalankan bersama pihak polis mendapati runtuhan membabitkan satu deretan lapan unit kedai.
“Berikutan itu, operasi mengesan mangsa segera dijalankan kerana dikhuatiri ada individu yang terperangkap dalam kejadian berkenaan,” katanya.
Jurucakap itu berkata, pihak polis turut menghubungi setiap pemilik kedai terbabit bagi mendapatkan pengesahan bahawa tiada mangsa berada di dalam premis ketika runtuhan berlaku.
Selain itu, katanya, pasukan penyelamat turut melaksanakan pencarian di sekitar kawasan runtuhan bagi memastikan tiada mangsa yang terperangkap di bawah timbunan runtuhan.
Menurutnya, hasil pemeriksaan menyeluruh mendapati kejadian itu tidak membabitkan mangsa dan keadaan di lokasi adalah terkawal serta selamat.
“Operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 3.50 pagi dan punca kejadian serta anggaran kerugian masih dalam siasatan pihak berkuasa,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




