Derhaka kepada Tuanku Muhriz: MB, Exco Negeri Sembilan perlu letak jawatan – AMK

SEREMBAN – Angkatan Muda Keadilan (AMK) Negeri Sembilan mendesak Menteri Besar, Datuk Ismail Lasim dan barisan Exco mengambil tanggungjawab politik dengan meletakkan jawatan serta-merta susulan melakukan penderhakaan terbuka kepada Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan.

Ketua AMK Negeri Sembilan, Mohamad Hamizan Mohd Bahtiar berkata, apa yang berlaku sejak beberapa hari ini lebih banyak menimbulkan persoalan.

“AMK mengecam sekeras-kerasnya keputusan Menteri Besar bersama seluruh barisan Exco yang mengiktiraf penurunan takhtaTuanku Muhriz.

“Apa yang berlaku sejak beberapa hari lalu menimbulkan lebih banyak persoalan daripada jawapan kepada rakyat Negeri Sembilan,” katanya dalam kenyataan.

Ini kerana ujarnya, Menteri Besar sendiri sebelum ini telah mempertikaikan kesahan proklamasi tersebut selain mendakwa dipaksa menandatanganinya.

Malah katanya, laporan polis turut dibuat berhubung perkara tersebut.

“Namun hari ini, Menteri Besar dan pentadbiran yang sama, tiba-tiba mengambil pendirian bahawa proklamasi tersebut adalah sah.

“Pihak berkuasa perlu melakukan siasatan secara menyeluruh segala dakwaan mengenai tekanan, dokumen dan proses yang membawa kepada kemelut ini,” katanya.

Mohamad Hamizan berkata, rakyat negeri ini berhak diberitahu apa yang sebenarnya berlaku termasuk siapa yang menekan Menteri Besar seperti yang didakwa.

Tegasnya, apa yang berlaku sekarang bukanlah pertelingkahan politik biasa, tetapi berkenaan takhta dan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan.

“Jika proklamasi itu sebelum ini dikatakan tidak sah, atas asas apa ia kini diterima sebagai sah? Adakah Menteri Besar kini menarik balik dakwaannya bahawa beliau telah ditekan?

“Undang-undang bukan bahan mainan yang boleh ditafsir hari ini dan ditukar pendirian esok mengikut keselesaan politik,” katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa institusi Raja jauh lebih tinggi daripada mana-mana parti politik meskipun kerajaan bertukar sekali pun.

Tambahnya, kemuliaan takhta dan keluhuran Perlembagaan mesti sentiasa dipelihara dan tidak boleh sesekali dipermainkan.

Selain itu, Mohamad Hamizan turut menggesa UMNO Negeri Sembilan menyatakan pendirian berhubung isu yang sedang berlaku.

“UMNO mesti menjawab kepada rakyat dalam perkara yang menyentuh takhta dan Perlembagaan negeri, tiada ruang untuk kecelaruan dan sikap lepas tangan,” katanya

Pada 9 September lalu, Undang Yang Empat termasuk Undang yang dipertikai menunjukkan dokumen didakwa proklamasi pemecatan Tuanku Muhriz sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan dikatakan telah ditandatangani oleh Menteri Besar, Datuk Ismail Lasim.

Ia susulan kenyataan media Ismail pada 6 September lalu yang menzahirkan sokongan taat setia kepada Tuanku Muhriz.

Katanya, fokusnya kini adalah untuk menjalankan amanah sebagai Menteri Besar Negeri Sembilan demi kepentingan rakyat dan negeri.

Namun, pada 9 September lalu, Ismail mendakwa telah dipaksa menandatangani dokumen proklamasi terbabit, tanpa menyatakan pihak atau individu yang memaksanya.

Beliau turut memaklumkan telah membuat laporan polis berhubung perkara tersebut.

 

 

Scroll to Top