Derma darah komitmen PDRM pada masyarakat

Derma darah komitmen PDRM pada masyarakat

KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan meneruskan komitmen menderma darah kepada Pusat Darah negara (PDN) dalam menterjemahkam perkhidmatan sosial pada masyarakat.

Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (Forensik dan Perancangan Strategik) Bukit Aman, DCP Datuk Dennis Lim Kwang Keng berkata, komitmen tersebut dapat dilihat menerusi setiap kempen derma darah yang dilaksanakan saban tahun mendapat sambutan menggalakkan daripada warga PDRM.

“Peranan PDRM kepada masyarakat tidak hanya terbatas kepada aspek keselamatan dan ketenteraman awam semata-mata, tetapi juga meliputi usaha murni yang merupakan tanggungjawab sosial kita kepada masyarakat.

Ini sejajar dengan tema sambutan Hari Polis iaitu, ‘ Polis dan Masyarakat Berpisah Tiada,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membacakan teks ucapan Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain ketika Program Derma Darah Sempena Peringat Hari Polis Ke 217 di ibu negara, hari ini.

Tambah Dennis, PDN juga berhadapan dengan kemelut kekurangan bekalan darah kerana segelintir masyarakat masih dibelenggu dengan stigma menderma darah  hingga menyebabkan kemudaratan kesihatan dan kesan sampingan termasuklah peningkatan berat badan.

Sehubungan itu, beliau menggalakkan warga PDRM hadir ke PDN untuk menderma darah selain tidak hanya tertumpu sewaktu kempen berlangsung.

Beliau berkata, sekurang-kurangnya sebanyak 400 pain darah bakal diperoleh pada program hari ini. – MalaysiaGazette