Desakan Anwar bercuti rosakkan kestabilan negara – AMK Perlis

Desakan Anwar bercuti rosakkan kestabilan negara – AMK Perlis

KANGAR: Desakan supaya Perdana Menteri bercuti atau meletak jawatan ketika proses siasatan dan undang-undang sedang berjalan adalah tindakan pramatang yang boleh merosakkan kestabilan negara serta menjejaskan keyakinan pelabur dan rakyat.

Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) negeri, Ahmad Azzin Izzad Bahanudin menegaskan, pihaknya menolak sebarang desakan yang cuba mempersoal kedudukan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang kini komited dalam memastikan pentadbiran negara terus berjalan secara telus dan berlandaskan prinsip keadilan.

Justeru, beliau menyeru agar semua pihak menolak budaya politik berasaskan fitnah, desakan tidak berasas dan cubaan menganggu gugat kestabilan negara melalui jalan pintas.

Katanya, sistem kehakiman negara harus diberi ruang untuk bertindak secara bebas tanpa sebarang campur tangan politik.

“Sebarang usaha untuk mencabar integriti badan kehakiman hanya akan meruntuhkan tiang seri demokrasi negara ini. Kita ingin menegaskan bahawa reformasi institusi dan keutuhan sistem demokrasi negara tidak boleh digadaikan hanya demi memenuhi tuntutan berkepentingan politik,” katanya di sini semalam.

Terdahulu, Pemuda Perikatan Nasional (PN) mendesak agar Perdana Menteri mengambil cuti sementara susulan kes saman sivil yang difailkan oleh Muhammed Yusof Rawther terhadap beliau.

Ketua Pemudanya, Afnan Hamimi Taib Azamudden dilaporkan berkata, tindakan itu perlu dilakukan bagi memberi ruang sepenuhnya kepada proses perbicaraan mahkamah untuk berjalan secara adil, telus dan saksama tanpa sebarang campur tangan kuasa eksekutif.

Menurut beliau yang juga Ketua Pemuda Pas, kes berkenaan bukan sahaja menyentuh soal perundangan, malah turut memberi kesan kepada maruah dan reputasi seorang Perdana Menteri di mata rakyat Malaysia.

Sebelum itu, Mahkamah Tinggi menolak permohonan Anwar untuk merujuk lapan persoalan undang-undang berkaitan kekebalan seorang Perdana Menteri daripada dikenakan sebarang saman sivil.

Rujukan persoalan itu berkait kes saman oleh bekas pembantu penyelidiknya, Muhammed Yusoff atas dakwaan serangan seksual tujuh tahun lalu.

Serangan seksual itu didakwa berlaku pada Julai 2021 iaitu hampir dua tahun sebelum Anwar mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri pada November 2022.

Tambah Ahmad Azzin, pada masa ini, apa yang lebih penting ialah menjamin kesinambungan pentadbiran dan meneruskan agenda pembaharuan yang telah dimulakan khususnya dalam memerangi rasuah, memperkukuh institusi awam serta memperjuang hak.-UTUSAN

Scroll to Top