Desakan pembangkang supaya Datuk Seri Anwar Ibrahim bercuti dan diganti dengan Perdana Menteri Interim bagi menghilangkan prejudis terhadap proses pelantikan Ketua Hakim Negara baharu adalah mengarut dan tidak berperlembagaan.
Ahli Dewan Negara, Senator Mohd. Hasbie Muda berkata, desakan dibuat Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin itu juga tidak masuk akal kerana menyebabkan negara ini mempunyai dua orang Perdana Menteri dalam satu masa.
Lebih membingungkan katanya, selepas itu terdapat suara dari kem pembangkang yang mendesak supaya Anwar melanjutkan perkhidmatan bekas Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat
Pendirian itu katanya, seperti meminta Anwar campur tangan dengan melanjutkan perkhidmatan Tengku Maimun pula.
“Desakan pembangkang supaya PMX rehat dan lantik Perdana Menteri Interim sebenarnya mengarut sebab ia tiada dalam Perlembagaan dan akan jadi dua Perdana Menteri dalam satu masa. Memang tak masuk akal.
“Mereka desak supaya PMX jangan campur dalam pelantikan hakim dan kemudiannya keluar pula kenyataan supaya PMX sambung (perkhidmatan) Tengku Maimun.
“Dua kenyataan itu bercanggah. Satu kata jangan campur tangan dan satu lagi kata kena sambung (minta campur tangan). Saya lihat pendirian pembangkang ini kelakar, tidak berpelembagaan dan aneh,” katanya kepada Rotikaya.

Mohd. Hasbie yang juga Ketua Pemuda AMANAH berkata, tindakan pembangkang yang cuba memberi gambaran Anwar campur tangan dalam pelantikan hakim adalah tidak berasas kerana seseorang Perdana Menteri sememangnya mempunyai peranan dalam proses itu.
Jelasnya, Perkara 122B Perlembagaan Persekutuan menyatakan Perdana Menteri mempunyai kuasa untuk memberi nasihat kepada Yang di-Pertuan Agong dalam proses melantik hakim.
Beliau turut mempertikaikan jika pembangkang benar-benar tidak mahu Perdana Menteri terlibat dalam proses itu, kenapa mereka tidak meminda Perkara 122B sewaktu memerintah selama 22 bulan.
“Perdana Menteri memang ada kuasa dari segi beri nasihat kepada Agong tetapi yang akan pilih Ketua Hakim Negara baharu tetap Agong
“Sejak dari dulu lagi inilah proses yang kita guna pakai iaitu nama calon Ketua Hakim Negara dibincang di peringkat Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC) dan nama itu akan dipersembahkan Perdana Menteri dan Seri Paduka yang akan tetapkan.
“Kita ikut Perlembagaan, bukan seperti zaman pembangkang memerintah lagi teruk ganggu Perlembagaan sampai boleh gantung Parlimen, ini lagi tak masuk akal,” tegasnya.

Sementara itu Mohd. Hasbie berharap semua pihak dapat memberi ruang kepada proses pelantikan Ketua Hakim Negara berlangsung mengikut peruntukan Perlembagaan.
Katanya, Yang di-Pertuan Agong juga telah bertitah supaya proses berkenaan tidak dipolitikkan dan semua pihak sepatutnya akur.
“Dia jadi isu sebab tertangguh, itu sahaja dan ini bukan kali pertama. Sebelum inipun apabila Ketua Hakim Negara tamat tempoh perkhidmatan, bukannya semua terus ada pengganti” katanya.
Mohd. Hasbie dalam pada itu membidas pembangkang sebagai tiada isu besar untuk dimainkan kerana banyak petunjuk ekonomi berpihak kepada kerajaan.
Katanya, pemerintahan Kerajaan MADANI telah berjaya meningkatkan pelaburan asing dan eksport serta menurunkan kadar inflasi, pengangguran dan kadar dasar semalamam (OPR).
“Sekarang Perdana Menteri sibuk dengan misi nak tarik pelabur. Imej kita dah baik tetapi tiba-tiba direka isu supaya imej negara kita buruk.
“Dalam keadaan kita menghadapi tarif Trump 25 peratus, kerajaan berusaha teroka pasaran baharu untuk eksport kita.
“Tapi kalau diburukkan seolah-olah kerajaan langgar kebebasan badan kehakiman dan sebagainya, orang akan ada sedikit keraguan untuk datang melabur,” jelasnya.