Split (Croatia) : Pengurus Perancis Didier Deschamps, memuji prestasi penyerang Ousmane Dembele sementara Kylian Mbappe kembali menyertai pasukannya menjelang pertemuan Liga Negara-Negara menentang Croatia.
Perancis akan berdepan Croatia dalam perlawanan suku akhir pertama di bandar pesisir Adriatik, Split, dengan perlawanan kedua pada Ahad di Stade de France.
Dembele menjaringkan 30 gol untuk kelab Paris St Germain pada musim ini dalam semua kejohanan.
“Dia dalam prestasi yang cemerlang, membaca permainan dengan baik. Dia berhak mendapat kejayaannya. Dulu anda kritik dia kerana kurang klinikal sekarang dia sudah berubah.
“Adakah dia boleh bermain sebagai penyerang nombor sembilan? Dia tidak banyak berubah, tetapi keberkesanannya sangat tinggi sekarang. Dia sentiasa mempunyai kemampuan penyudah yang baik.”
“Segala-galanya mungkin. Saya bukan di sini untuk memberi maklumat kepada lawan kami. Apa yang penting ialah mempunyai kimia yang betul dan keseimbangan teknikal,” kata Deschamps kepada wartawan pada hari Rabu.
Mbappe kembali menyertai skuad Perancis buat pertama kali sejak September dan kelihatan gembira serta tenang ketika bercakap dengan wartawan.
“Seronok dapat kembali bersama kumpulan ini. Kebanyakan rakan sepasukan yang ada di sini, kami berbual antara satu sama lain hampir sepanjang masa. Saya bercuti dengan sebahagian daripada mereka. Sungguh menyenangkan berada di sini,” kata Mbappe.
Pemain berusia 26 tahun itu, yang mempunyai 86 cap, tidak disertakan dalam skuad bagi perlawanan Liga Negara-Negara pada Oktober dan November lalu selepas menyertai Real Madrid pada bulan Julai.
© New Straits Times Press (M) Bhd




