am@hmetro.com.my
Bayan Lepas: Seramai 13 individu berdepan detik cemas apabila terperangkap dalam lif yang terhenti di tingkat 15 sebuah pangsapuri di Lengkok Kelicap, Mutiara Perdana di sini, hari ini.
Kesemua mangsa yang terdiri daripada lapan lelaki dan lima wanita itu berada dalam keadaan baik selepas diselamatkan.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang, John Sagun Francis jam 5.25 petang.
Katanya, khidmat khas pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bayan Baru dipanggil bagi membantu mengeluarkan mangsa yang terperangkap.
“Sebaik tiba di lokasi, didapati insiden berlaku di tingkat 15 dan terdapat seramai 13 mangsa terperangkap di dalamnya.
“Berikutan akses lif yang tidak berfungsi, pasukan penyelamat terpaksa naik ke tingkat 15 menerusi tangga kecemasan,” katanya ketika dihubungi, di sini.
John berkata, pihaknya dengan berpakaian pelindung diri (PPE) lengkap menggunakan peralatan khas dan kunci bagi membuka pintu lif.
“Pasukan penyelamat mengambil masa selama dua minit bagi membuka pintu lif berkenaan.
“Lokasi kemudian diserah kepada pihak pengurusan bangunan bagi tindakan lanjut,” katanya.
Operasi yang membabitkan seramai enam anggota itu ditamatkan pada jam 5.52 petang.
© New Straits Times Press (M) Bhd




