am@hmetro.com.my
Kuala Krai: Tiga beranak berdepan detik cemas selepas kenderaan yang dinaiki mereka terbalik sebelum terbakar di Kampung Keroh, berdekatan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Keroh, di sini, petang tadi.
Difahamkan ketika kejadian, tiga beranak yang berusia di antara 50 hingga 11 tahun dalam perjalanan ke Kuala Lumpur terlanggar penghadang jalan sebelum kereta yang dinaiki mereka terbalik dan keluar percikan api.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Durian, Zulhilmi Baharudin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung insiden jam 4.52 petang.
Katanya, setibanya tiba di lokasi, didapati sebuah kereta Proton Saga terbalik dan sedang terbakar sepenuhnya.
“Bagaimanapun, ketiga-tiga mangsa berjaya keluar dari kenderaan sebelum api marak dan membakar keseluruhan kenderaan,” katanya ketika dihubungi.
Katanya, api berjaya dikawal sepenuhnya jam 5.14 petang.
“Semua mangsa hanya mengalami kecederaan ringan dan dihantar ke Hospital Sultan Ismail Petra (HSIP) Kuala Krai untuk rawatan lanjut.
“Operasi tamat sepenuhnya pada jam 5.39 petang,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd