Detik cemas anggota bomba terjerlus dalam bara api

Detik cemas anggota bomba terjerlus dalam bara api

am@hmetro.com.my

Pekan: Pengalaman terjerlus ke dalam bara api hingga paras pinggang antara pengalaman tidak dapat dilupakan bagi seorang anggota bomba ketika memadam kebakaran hutan paya gambut di Jalan Pekan-Nenasi dekat Sungai Miang, di sini.

Kejadian yang berlaku pada hari raya kedua itu menyebabkan Noriaidil Norizal, 30, melecur pada betis kiri dan kanan.

Mengimbau detik cemas itu, anggota bomba dan penyelamat Balai Bomba Pekan itu berkata, dia tidak menyangka kejadian itu berlaku kerana sentiasa berhati-hati ketika berjalan di kawasan kebakaran berikutan pelbagai risiko yang mungkin di alami.

Katanya, kejadian berlaku begitu pantas selepas berjalan kira-kira 20 meter dalam hutan bersama dua lagi rakan bagi menjalankan tugas memantau dan tinjauan lokasi titik panas kebakaran, dia terjerlus hingga hingga paras pinggang.

“Saya berusaha berdiri dan cuba menarik kaki keluar, tambahan pula saya terasa bahang api di bahagian betis.

“Alhamdulillah dengan bantuan rakan yang menariknya saya berjaya menyelamatkan diri.

“Walaupun seluar saya tidak terbakar namun panas bara api menyebabkan betis kiri dan kanan saya melecur,” katanya, dihubungi di sini hari ini.

Beliau yang juga anggota unit menyelam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang berkata, dia terpaksa dibawa keluar dari kawasan kebakaran dengan bantuan unit kecemasan JBPM Pahang untuk rawatan lanjut kerana tidak mampu berjalan.

“Selepas lapan tahun bertugas, ini pengalaman pertama saya mengalami kemalangan yang dianggap serius, sebelum ini hanya kemalangan kecil yang dianggap asam garam sebagai anggota bomba.

“Kini setiap hari saya mendapat rawatan di klinik Kampung Nenasi, dekat sini bagi mencuci kesan melecur yang dialami.

“Saya juga terpaksa menggunakan kerusi roda untuk bergerak,” katanya yang turut bertugas pada Aidilfitri kali ini.

Noriaidil berkata, anggota yang bertugas memadam kebakaran hutan paya gambut sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan JBPM, namun tidak diduga kemalangan berlaku tanpa disangka.

Sementara itu, Penolong Pengarah Operasi JBPM Pahang, Ismail Abdul Ghani, berkata pihaknya sentiasa menekankan aspek keselamatan anggota ketika bertugas tidak mengira lokasi.

“Semua SOP keselamatan perlu dipatuhi anggota sepanjang mereka bertugas, keselamatan anggota sentiasa diutamakan.

“Saya memuji semangat, tanggungjawab dan keberanian ditunjukkan Noriaidil, dia menjalankan tugas diamanahkan hingga hampir meragut nyawanya,” katanya yang sentiasa memantau perkembangan anggota terbabit.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top