am@hmetro.com.my
Kuala Selangor: Remaja perempuan menempuh detik hitam selepas didera dan diabaikan ibu angkatnya di sebuah rumah di Taman Bendahara, di sini.
Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintendan Azaharudin Tajudin berkata, polis menerima laporan berhubung kejadian pada 6.40 petang semalam.
“Mangsa berusia 13 tahun diambil oleh suspek dan suaminya sejak bayi.
“Suspek berusia 54 tahun adalah suri rumah,” katanya ketika dihubungi, malam ini.
Azaharudin berkata, bertindak atas maklumat Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Selangor menahan suspek pada jam 8.15 malam hari sama.
Pada masa sama katanya, mangsa dibawa ke Hospital Tanjong Karang untuk mendapatkan rawatan.
“Permohonan reman ke atas suspek dibenarkan selama enam hari bermula hari ini sehingga 4 Julai depan bagi membantu siasatan,” katanya.
Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 3(1) Akta Kanak-kanak 2001.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kes itu diminta menghubungi Bilik Gerakan IPD Kuala Selangor di talian 03-32891222 atau mana-mana balai polis berhampiran.
© New Straits Times Press (M) Bhd