Kuala Lumpur: Pelumba muda Switzerland, Noah Dettwiler, yang mengalami kemalangan serius ketika Grand Prix (GP) Malaysia hujung minggu lalu, kini dilaporkan tidak lagi dalam keadaan kritikal, menurut kenyataan rasmi keluarganya semalam.
“Menurut doktor, keadaan Noah kini stabil dan tidak lagi kritikal. Namun, dia masih berada di unit rawatan rapi (ICU) untuk pemantauan lanjut,” kata keluarganya dalam kenyataan di platform X.
Perlumbaan Moto3 di Litar Antarabangsa Sepang pada Ahad lalu terpaksa ditunda dan dipendekkan selepas insiden membabitkan juara dunia baharu Jose Antonio Rueda dan Dettwiler ketika pusingan sighting lap.
Kedua-dua pelumba itu masih sedar selepas kemalangan dan segera dihantar ke hospital menggunakan helikopter.
Rueda, 19, dari Sepanyol, disahkan mengalami patah tangan kanan dan beberapa kecederaan lain.
Pasukannya, Red Bull KTM Ajo, memaklumkan keadaan Rueda kini semakin baik dan dijangka kembali ke Barcelona pada Khamis ini untuk menjalani pembedahan.
Dettwiler, 20, yang bersaing dalam kelas permulaan kejuaraan dunia, Moto3, kini menunjukkan perkembangan positif selepas melalui tempoh getir pasca kemalangan, insiden terbaharu yang mengingatkan semula tragedi ngeri di Sepang pada 2011 yang meragut nyawa pelumba Itali, Marco Simoncelli.
© New Straits Times Press (M) Bhd




