am@hmetro.com.my
Kota Kinabalu: Sebuah dewan bersejarah berusia lebih 60 tahun yang terletak di Jalan Dewan, di sini, musnah dalam kebakaran, tengah malam tadi.
Dalam kejadian 12.30 tengah malam itu, Dewan Masyarakat Kota Kinabalu terbakar 80 peratus, namun tiada kemalangan jiwa dilaporkan.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, Muhammad Taqiuddin Victor Doon berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 12.44 tengah malam.
Katanya, sepasukan 25 anggota dan pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Kinabalu, dengan bantuan BBP Lintas dan Penampang, segera digerakkan ke lokasi kejadian.
“Sebaik tiba, pasukan mendapati kebakaran membabitkan hampir keseluruhan dewan dan sebuah stor penyimpanan barangan kitar semula.
“Operasi pemadaman dijalankan menggunakan satu aliran dengan lima pancutan air dari sumber jentera,” katanya ketika ditemui di lokasi.
Menurutnya, kebakaran berjaya dikawal sepenuhnya pada 2.41 pagi, sebelum operasi ditamatkan 3.33 pagi.
“Tiada mangsa dilaporkan terbabit dan punca kebakaran masih dalam siasatan,” katanya.
Operasi turut mendapat bantuan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) dan Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB).
Dewan Masyarakat Kota Kinabalu adalah mercu tanda penting yang menyaksikan pelbagai acara keramaian, persembahan kebudayaan serta program komuniti sejak era awal pembangunan Bandaraya Kota Kinabalu.
© New Straits Times Press (M) Bhd