latifah@bh.com.my
Kuala Lumpur: Persidangan Dewan Negara hari ini meluluskan usul Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) tanpa pindaan pada jam 7.09 malam.
Usul itu sebelum ini dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 25 Ogos lalu.
Ia disusuli sesi perbahasan disertai 43 ahli Dewan Negara yang berlangsung tiga hari bermula 26 hingga 28 Ogos lalu.
Sesi penggulungan RMK13 pula bermula semalam membabitkan 13 menteri serta timbalan menteri dan disambung hari ini oleh 15 kementerian.
Penggulungan terakhir dibuat Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan yang menjalankan tugas dan fungsi Menteri Ekonomi.
Yang Dipertua Dewan Negara, Datuk Awang Bemee Awang Ali Basah ketika mempengerusikan mesyuarat berkata, usul RMK13 itu diluluskan sebulat suara oleh ahli Dewan Negara.
Terdahulu, sidang Dewan Rakyat pada 21 Ogos lalu, meluluskan usul RMK13 menerusi undian suara tanpa sebarang pindaan selepas dibentangkan Anwar pada 31 Julai lalu.
Usul RMK13 itu melalui sesi perbahasan selama lapan hari bermula 4 Ogos lalu, membabitkan seramai 153 Ahli Parlimen daripada blok kerajaan dan pembangkang.
Sementara itu, sesi penggulungan RMK13 pula bermula 18 Ogos lalu, membabitkan 30 menteri.
Pelan pembangunan lima tahun itu menyasarkan pembentukan masyarakat yang inklusif dan progresif, selain menjadikan Malaysia sebagai peneraju teknologi digital serantau melalui penghasilan inovasi serta produk dan perkhidmatan bertaraf global ‘Made by Malaysia’.
Empat tonggak utama digariskan di bawah RMK13 yang bertemakan ‘Melakar Semula Pembangunan’ ialah meningkatkan kerencaman ekonomi, meningkatkan mobiliti sosial, mempercepat pelaksanaan Agenda Reformasi Perkhidmatan Awam dan mempertingkatkan kesejahteraan rakyat dan kelestarian alam sekitar.
Di samping itu, sembilan tumpuan iaitu menuju negara berteraskan kecerdasan buatan, melonjakkan industri pertumbuhan tinggi dan bernilai tinggi (HGHV) dan sektor strategik, menyeimbangkan kemajuan ekonomi antara wilayah dan mengukuhkan pembangunan desa, memperhebat pembabitan dan peranan Malaysia di persada ekonomi dunia.
Antara sasaran utama RMK13 menjelang 2030 ialah pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada kadar purata 4.5 hingga 5.5 peratus setahun, pengurangan defisit fiskal kepada bawah tiga peratus KDNK, serta pertumbuhan pelaburan swasta mencecah RM417.9 bilion setahun secara nominal.
© New Straits Times Press (M) Bhd
