[Dewan Rakyat] Homoseksual, biseksual faktor utama jangkitan HIV

[Dewan Rakyat] Homoseksual, biseksual faktor utama jangkitan HIV

KUALA LUMPUR : Faktor risiko utama kepada jangkitan HIV baharu yang direkodkan adalah datangnya daripada transmisi seksual dimana 45 peratus adalah mereka yang berumur 20 ke 29 tahun.

Menjelaskan perkara itu, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, ia merupakan rekod daripada Kementerian Kesihatan (KKM) di Wilayah Persekutuan sejak 2015 hingga tahun lalu.

Jelas beliau, sebanyak 68 peratus jangkitan HIV baharu yang dilaporkan adalah menerusi hubungan homoseksual dan biseksual, manakala 26 peratus menerusi hubungan heteroseksual.

“Trend kes baharu HIV adalah mendatar untuk semua kategori faktor risiko. KKM sudah mengambil langkah kawalan dan pencegahan bagi mencapai matlamat Ke Arah Sifar HIV dan Mengakhiri AIDS seperti digariskan melalui beberapa siri Pelan Strategik Kebangsaan Bagi Mengakhiri HIV/AIDS (2016 – 2030).

“(Antara lain) Ia menggariskan fokus utama merangkumi uji dan rawat, pengukuhan pengurangan mudarat, pencegahan jangkitan ibu ke anak serta eliminasi stigma dan diskriminasi,” katanya dalam jawapan bertulis menjawab soalan Dr. Tan Yee Kew (PH-Wangsa Maju) di Dewan Rakyat.

Daripada jumlah itu juga, Khairy turut berkata,bilangan kes baharu HIV dilaporkan  di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya ialah 3,030 kes, dengan kes baharu HIV menunjukkan trend mendatar.

“Bilangan kes HIV dilaporkan pada 2015 sebanyak 448 orang atau pada kadar 27.8 kes bagi setiap 100,000 penduduk, manakala bagi 2019, sebanyak 448 kes HIV baharu dilaporkan atau pada kadar 22.5 kes bagi setiap 100,000 penduduk.

“Bagi 2020 dan 2021, kes baharu HIV yang dilaporkan di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya menunjukkan trend penurunan yang signifikan. Namun, ia mungkin kesan kawalan pergerakan akibat pandemik Covid-19 yang melanda seluruh negara, menyebabkan aktiviti saringan HIV tersekat,” katanya.

Khairy berkata, sepanjang tempoh 2015 ke tahun lalu, 91 peratus kes baharu HIV daripada kategori umur 20 ke 49 tahun, 45 peratus (umur 20-29), 33 peratus (umur 30-39) dan 13 peratus (umur 40-49), tiga peratus (umur kurang dari 20 tahun) dan enam peratus kes baharu berumur 50 tahun ke atas. – UTUSAN