Dewan Rakyat: KBS cadang henti sementara dana FAM

Dewan Rakyat: KBS cadang henti sementara dana FAM

nooratiqah.sulaiman@bh.com.my

Kuala Lumpur: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) mencadangkan supaya tiada dana tambahan disalurkan buat sementara waktu kepada pasukan bola sepak kebangsaan sehingga keyakinan pulih dengan pentadbiran FAM.

Menterinya, Hannah Yeoh berkata, langkah itu adalah sebahagian daripada cadangan penambahbaikan berterusan bagi memastikan pembangunan atlet tempatan menjadi keutamaan.

“Buat masa ini, saya hanya boleh mencadangkan supaya tiada lagi dana tambahan disalurkan. Fokus dahulu kepada membantu pasukan kebangsaan dan memastikan penambahbaikan dijalankan,” kata Hannah.

Beliau berkata demikian pada sesi penggulungan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan (Belanjawan) 2026 peringkat jawatankuasa Kementerian Belia dan Sukan (KBS) di Dewan Rakyat, hari ini.

Sebelum ini, isu Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) berhubung dakwaan pemalsuan dokumen membabitkan tujuh pemain warisan mencetus perbahasan hangat di Dewan Rakyat.

Ketika sesi penggulungan, ahli parlimen di kedua-dua blok dilihat senada dalam mempersoalkan reputasi negara selepas dikaitkan dengan skandal berkenaan.

Dalam pada itu, Hannah berkata, bagi cadangan kedua pihaknya mahu sebarang permohonan naturalisasi atlet atau pemain yang dicadangkan oleh persatuan sukan kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN) pada masa hadapan perlu dirujuk terlebih dahulu kepada Majlis Sukan Negara (MSN).

“Ini kerana melalui Program Pembangunan Bolasepak Negara (NFDP) atau program akar umbi, dana sudah dibelanjakan untuk melahirkan atlet pembangunan yang berkualiti.

“Jadi MSN lebih tahu mengenai keperluan sama ada pasukan ini memerlukan pemain warisan atau tidak,” katanya.

Hannah berkata pada November tahun lalu, MSN pernah adakan sesi Townhall bersama kelab bola sepak profesional.

“Semasa sesi itu kelab-kelab yang terbabit ini sudah dimaklumkan dengan perancangan mereka untuk mendapatkan khidmat pemain naturalisasi bagi membantu persiapan pasukan masing-masing.

“KBS mahupun MSN tidak mempunyai sebarang kuasa untuk menghalang usaha mereka jika mereka mahu, kerana ia dibenarkan oleh FIFA.

“Jadi kalau mereka mahu pemain warisan, mereka kena ikuti proses yang elok untuk pastikan tiada lagi isu kontroversi seperti ini.

“Ini adalah dua cadangan awal yang saya boleh nyatakan dan KBS akan ambil langkah berkenaan buat masa ini sebelum siasatan diperincikan,” tambahnya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top