Dewan Rakyat 'panas' Syahredzan, Rosol bertikam lidah isu Titah Adendum

Dewan Rakyat 'panas' Syahredzan, Rosol bertikam lidah isu Titah Adendum

am@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Sesi perbahasan di Dewan Rakyat pada petang tadi `panas’ seketika apabila berlaku pertikaman lidah antara Syahredzan Johan (PH-Bangi) yang mempengerusikan mesyuarat dan Datuk Rosol Wahid (PN-Hulu Terengganu).

Rosol ketika membahaskan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) membangkitkan mengenai isu Titah Adendum, dengan mempersoalkan kesungguhan pemimpin UMNO dalam isu itu.

Tindakan itu bagaimanapun ditegur Syahredzan, dengan memaklumkan Speaker, Tan Sri Johari Abdul sudah memutuskan isu itu tidak boleh disentuh dalam Dewan.

Rosol mempersoalkan keputusan itu kerana beliau hanya mahu menyampaikan pandangan dan bukan mengganggu perbicaraan mahkamah.

“Jika dalam Parlimen pun tidak boleh cakap, macam mana? Dalam mahkamah, sehingga ia mengganggu perbicaraan. Ini pandangan saya, nak tanya saja apakah peranan yang dimainkan pemimpin UMNO terhadap bekas ‘bos’ mereka,” katanya.

Syahredzan tegas dengan keputusannya dan memaklumkan beliau terikat dengan keputusan Speaker sebelum ini serta meminta Rosol beralih ke isu lain.

“Kalau Hulu Terengganu tidak puas hati dengan `ruling’ sebelum ini, boleh bawa kepada Speaker. Saya terikat dengan `ruling’,” katanya.

Rosol kemudian bertanya sama ada beliau boleh membangkitkan isu mengenai bekas pembantu penyelidik ahli politik, Muhammed Yusoff Rawther, namun Syahredzan berkata, ia juga tidak dibenarkan kerana sedang dibicarakan di mahkamah.

Larangan itu menyebabkan Rosol mempersoalkan mengenai kebebasan di Parlimen dan meminta Syahredzan menyatakan Peraturan Mesyuarat yang dirujuk, menyebabkan Syahredzan mengarahkan Rosol untuk menghentikan perbahasan.

“Saya Speaker, bukan Hulu Terengganu. Saya yang buat keputusan. Terima kasih Hulu Terengganu, duduk,” katanya.

Rosol bagaimanapun tetap membangkitkan isu itu, namun akhirnya menghentikan perbahasan selepas diberikan amaran oleh Syahredzan.

Pada 4 Februari lalu, Johari memutuskan isu berkaitan polemik Titah Adendum tidak dibenarkan dibangkitkan pada sesi Dewan Rakyat kerana ia masih dalam perbicaraan mahkamah.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top