am@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Dewan Rakyat hari ini tidak meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) 2026 bagi mengehadkan tempoh 10 tahun jawatan Perdana Menteri.
Ia selepas RUU itu gagal memperoleh sokongan dua pertiga Ahli Parlimen apabila hanya 146 Ahli Parlimen menyokong, sementara 32 Ahli Parlimen tidak hadir dan 44 Ahli Parlimen lagi memilih untuk berkecuali.
Keputusan undi belah bahagian itu diumumkan Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Johari Abdul selepas ia dibahaskan oleh seramai 41 Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang.
Sebarang kelulusan RUU pindaan Perlembagaan Persekutuan memerlukan sekurang-kurangnya 148 sokongan Ahli Parlimen.
Ia sekali gus menyaksikan RUU yang pertama kali dibentang membabitkan pindaan kepada Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan gagal dibawa untuk bacaan kali ketiga dan kemudiannya diluluskan.
RUU ini dibentang bagi bacaan kali pertama pada minggu lalu oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said.
Bacaan kali kedua pula dibuat Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini, diikuti sesi perbahasan oleh Ahli Parlimen.
Kegagalan meluluskan RUU itu memberi petanda tidak menentu kepada satu lagi RUU pindaan penting, esok iaitu berkaitan pengasingan peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya yang turut memerlukan sokongan majoriti dua pertiga Ahli Parlimen.
Terdahulu, Azalina ketika menggulung RUU itu menegaskan, pindaan ini dirangka dan dibentangkan sepenuhnya dalam kerangka Perlembagaan Persekutuan dan dengan penghormatan yang tidak berbelah bagi terhadap institusi Raja-Raja.
Katanya, perlembagaan sendiri sudah diperuntukkan secara jelas kategori pindaan yang memerlukan persetujuan Majlis Raja-Raja di bawah Perkara 1595 dan Perkara 38(4).
“Pindaan ini tidak termasuk dalam mana-mana kategori itu dan tidak menyentuh kedaulatan prerogatif atau kedudukan Raja-Raja. Justeru itu, kerajaan bertindak selaras dengan prosedur ditetapkan oleh Perlembagaan iaitu melalui mekanisme Perkara 159(3),” katanya.
Beliau berkata, menetapkan had tempoh tidak menyentuh prerogatif baginda, sebaliknya mentakrifkan parameter kelayakan individu yang boleh dipertimbangkan, justeru tidak timbul soal mengurangkan kuasa Yang di-Pertuan Agong.
“Ia soal memperkemaskan prinsip akauntabiliti dalam jawatan eksekutif tertinggi tanpa mengubah struktur pelantikan. Kuasa melantik kekal kepada baginda. Sokongan majoriti kekal pada Dewan Rakyat. Had tempoh hanya menentukan bahawa kuasa itu tidak boleh dipegang tanpa batas.
“Had 10 tahun dipilih kerana ia ukuran masa yang objektif, seragam dan selaras dengan struktur perlembagaan yang tidak mengikat jawatan Perdana Menteri kepada penggal tetap memandangkan Parlimen boleh digubal lebih masa.
“Pendekatan ini mengelakkan ketidakpastian tafsiran mengenai penggal di samping mengekal ruang yang mencukupi untuk kesinambungan dasar dan kestabilan pentadbiran tanpa membenarkan penumpuan kuasa yang terlalu lama,” katanya.
Katanya, pindaan kepada Perkara 43 berhubung had tempoh jawatan Perdana Menteri juga tidak menyentuh mana-mana perkara dinyatakan dibawah Perkara 159(5), Perkara 70, Perkara 71, Perkara 72(4), Perkara 152 serta Perkara 153.
“Ia ada antara lain tidak mengubah keutamaan Raja-Raja. Tidak menjejaskan jaminan Perlembagaan Negeri. Tidak menyentuh Bahasa Kebangsaan. Tidak menyentuh Perkara 153 dan tidak melibatkan kewarganegaraan.
“Oleh itu dari sudut teks yang nyata, pindaan ini tidak termasuk dalam lingkungan Perkara 159(5). Pindaan had tempoh jawatan Perdana Menteri adalah mengenai kelayakan dan tempoh memegang jawatan dalam cabang eksekutif. Ia tidak mengubah prerogatif Yang di-Pertuan Agong.
“Tidak meminda kuasa pelantikan di bawah (Perkara) 43(2)(a) dan tidak menjejaskan budi bicara baginda di bawah Perkara 42(a). Oleh itu ia tidak jatuh dalam ruang lingkup Perkara 38(4),” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




